Rumah tanpa deposit

Friday, December 17, 2010



11,000 unit kediaman ditawarkan bermula Januari di seluruh negara

KUALA LUMPUR: Syarikat Perumahan Negara Berhad (SPNB) menawarkan 11,000 unit rumah berharga antara RM35,000 hingga RM220,000 di seluruh negara kepada pembeli, tanpa mengenakan bayaran wang pendahuluan mulai 1 Januari ini.

Pengerusinya, Datuk Idris Haron, berkata SPNB dengan kerjasama Cagamas Berhad (Cagamas) menawarkan jaminan beli rumah tanpa wang deposit itu hanya kepada pembeli rumah pertama yang berpendapatan RM3,000 sebulan membabitkan pembelian rumah yang dimajukan SPNB.

Katanya, tindakan itu juga untuk menyahut usaha kerajaan dalam memastikan golongan yang ingin membeli rumah tidak perlu menyediakan wang pendahuluan yang selama ini menjadi antara halangan untuk mereka memiliki kediaman sendiri.

“Sebagai pemaju, SPNB akan memberikan jaminan ini kerana melihat kebanyakan pembeli tidak mampu menyediakan wang pendahuluan.

“Kita mempunyai lebih 11,000 unit rumah berharga antara RM35,000 hingga RM220,000 di seluruh negara yang belum dijual. Jadi ini peluang golongan muda memiliki rumah tanpa perlu sediakan pendahuluan 10 peratus,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas pelancaran Program Kesedaran Amalan HIFI (Helpful, Informative, Friendly, Immediate) untuk warga SPNB, di sini semalam.

Hadir sama, Pengarah Urusan SPNB, Prof Dr Kamarul Rashdan Salleh.
Pada sidang media sama, Idris turut mengumumkan empat projek baru membabitkan pembinaan 1,200 unit rumah di Selangor, Johor, Kedah dan Sabah mulai tahun depan.

Mengenai masalah 41 pemilik rumah Taman Anggerik Fasa 2, Senawang, Negeri Sembilan yang mendakwa projek berkenaan masih terbengkalai, beliau berkata, projek itu bukan dikendalikan SPNB seperti didakwa pembeli.

“Tahun ini, kita berjaya menjual 3,000 unit berjumlah RM400 juta dan tahun depan SPNB menyasarkan jualan sebanyak 6,300 rumah.

“SPNB yakin jualan tahun depan akan meningkat dengan kerjasama Cagamas. Kita juga menawarkan pakej jualan menarik, termasuk diskaun 10 hingga 30 peratus, bergantung kepada lokasi kawasan perumahan, termasuk khidmat guaman percuma,” kata Dr Kamarul.

Di bawah Rancangan Malaysia Ke-Sepuluh (RMKe-10), kerajaan menyasarkan pembinaan 161,000 unit rumah mampu milik, iaitu 78,000 unit dibina kerajaan dan 83,000 unit oleh swasta.

Pembeli baru berpendapatan kurang daripada RM3,000 sebulan untuk memiliki rumah, kerajaan memperkenalkan Skim Rumah Pertamaku yang akan dilaksanakan Cagamas Berhad, syarikat perbadanan gadai janji dan pensekuritian terkemuka negara.

Ini akan menawarkan jaminan kerajaan ke atas bayaran pendahuluan 10 peratus bagi harga rumah di bawah RM220,000 dan membolehkan pembeli rumah mendapat pinjaman 100 peratus tanpa perlu mengeluarkan 10 peratus wang pendahuluan seperti amalan lazim.

Pembeli rumah pertama juga akan diberikan pengecualian duti setem 50 peratus ke atas surat cara pindah milik dan surat cara perjanjian pinjaman bagi rumah berharga tidak melebihi RM350,000.

'Anak Daphne bukan zuriat saya'




KUALA LUMPUR: Bekas suami model dan pengacara TV Daphne Eleanor Iking, semalam memberitahu Mahkamah Majistret di sini bahawa Isobel Daniella Iking-Chong bukan anak kandungnya.

Ryan Chong Yiing Yih, 32, berkata, perkara itu diketahui selepas melakukan beberapa ujian, termasuk ujian asid deoksiribonukleik (DNA).

Beliau melakukan ujian itu selepas beberapa kali membaca e-mel antara bekas pengarah Urusan Adidas Darren Choy Khin Ming, 45, dengan bekas isterinya.

Katanya, beliau membawa Isobel ke klinik di Petaling Jaya bagi melakukan ujian itu selepas sangsi dengan e-mel Iking kepada Choy yang berbunyi ‘Muka dia (Isobel) lebih mirip kepada awak’.

Katanya, hasil ujian menunjukkan darahnya dan Iking dari jenis ‘O’, manakala Isobel mempunyai darah jenis ‘A’.

Beliau memberi keterangan dalam perbicaraan saman peribadinya terhadap Choy yang didakwa memikat Iking, 31, dengan niat supaya wanita itu melakukan persetubuhan dengannya di kondominium The Plaza, Jalan Wan Kadir, Taman Tun Dr Ismail, Kuala Lumpur, antara Julai 2007 dan September 2008.

Iking dan Chong berkahwin pada 27 Jan 2007 di Bali, Indonesia dan dikurniakan anak perempuan, Isobel, sebelum bercerai pada 2009.

Jika sabit kesalahan, mengikut Seksyen 498 Kanun Keseksaan, Choy yang diwakili peguam Datuk Jagjit Singh dan Akberdin Abdul Kader, berdepan hukuman maksimum penjara dua tahun, atau denda, atau kedua-duanya sekali.

Sementara itu, Chong berkata e-mel antara Choy dan Iking lebih terarah kepada cinta, dan melaluinya, beliau mengetahui mereka merancang bercuti ke Banyan Tree Bintan Resort, Indonesia untuk melakukan hubungan intim. “Saya ada bukti bahawa Darren Choy mempunyai niat menggoda bekas isteri saya untuk mengadakan hubungan seksual,” katanya ketika ditanya peguam Wong Kian Kheong Chong yang mewakilinya. Perbicaraan di hadapan Majistret Engku Ahmad Rashdi Engku Abdillah bersambung Isnin depan. - Bernama

Related Posts with Thumbnails

Isu Semasa

NST Online

The Star Online

Malay Mail Online

Berita Harian

Harian Metro

Malaysiakini