Soalan
SAYA pelajar institusi pengajian tinggi awam (IPTA) berusia 22 tahun dan mempunyai masalah yang sudah setahun menghantui hidup saya.
Saya mempunyai kekasih dan dia tidak mempunyai pekerjaan tetap. Bagaimanapun, dia mempunyai pendapatan lumayan hasil daripada kerjanya sebagai pemandu pelancong dan pemandu kenderaan apabila ada orang ingin melancong ke negara jiran.
Buat pengetahuan Dr, kami sudah berulang kali terlanjur. Saya ada menyatakan hasrat untuk berkahwin bagi mengelakkan kami terus dibelenggu dosa dan dia bersetuju.
Namun, apabila saya menyuarakan hasrat untuk berkahwin, keluarga menentang dengan alasan saya masih belajar dan kekasih tidak mempunyai pekerjaan tetap.
Disebabkan tentangan keluarga itu, saya pernah terfikir untuk bernikah di Siam. Namun, apabila memikirkan keluarga, saya membatalkan hasrat itu.
Saya berulang kali memujuk keluarga tetapi tidak berhasil. Saya dan kekasih cuma inginkan hubungan yang halal bagi kami dan ingin mengakhiri episod dosa yang kami lakukan.
Dr, apa yang harus saya lakukan? Adakah saya patut bernikah saja di Siam tanpa pengetahuan keluarga atau kami terus dengan hidup yang penuh dosa jika saya perlu menunggu pihak keluarga memberikan restu kepada hubungan kami.
Gadis Keliru.
KEDAH
JAWAPAN
ZINA adalah terlarang dan perlu dijauhi. Firman Allah dalam surah Al-Israa, ayat 32 yang bermaksud: "Dan janganlah kamu menghampiri zina, sesungguhnya zina itu adalah satu perbuatan yang keji dan satu jalan yang jahat (yang membawa kerosakan)".
Memandangkan adik dan kekasih sudah terlanjur, pengurusan masalah perlu dilakukan dengan sebaik mungkin dan berlandaskan agama. Niat adik untuk berkahwin adalah baik.
Perkahwinan disyariatkan oleh al-Quran, Sunnah dan Ijmak Ulama. Firman Allah, "Dan kahwinilah orang-orang bujang (lelaki & perempuan) dari kalangan kamu dan orang-orang yang soleh dari kalangan hamba-hamba kamu lelaki dan perempuan..." (Surah An-Nur : 32) .
Perkahwinan yang tidak mendapat restu keluarga dan kahwin lari sering kali membawa kesan yang lebih banyak buruk dari baiknya.
Justeru, apabila adik membatalkan niat untuk tidak kahwin lari di Siam, tindakan adik itu adalah rasional. Perkahwinan direstui ibu bapa adalah perkahwinan yang berkat dan boleh membawa kebahagiaan rumah tangga.
Dr tidak tahu apa sebenarnya yang adik jelaskan kepada ibu bapa apabila memujuk mereka untuk membenarkan adik berkahwin dengan teman lelaki. Adakah adik jujur dengan menceritakan bahawa adik sudah beberapa kali terlanjur atau tidak?
Ini kerana, maklumat yang tidak mencukupi boleh menyebabkan sesuatu keputusan yang bijak tidak boleh diambil.
Oleh itu, perancangan yang rapi sangat penting dalam sesuatu proses perundingan kerana ia adalah proses memujuk dan adik perlu melihat isu sebenar penolakan ke ibu bapa terhadap perkahwinan adik. Begitu juga apakah tindakan atau tawaran terbaik yang adik boleh berikan kepada mereka.
Penolakan daripada ibu bapa dengan alasan adik masih belajar dan kekasih tidak mempunyai pekerjaan tetap adalah berlandaskan kasih sayang dan keinginan mereka melihat adik bahagia.
Justeru, apabila adik ingin memujuk, perlu ada persiapan rapi dengan memberitahu mereka akan segala perancangan dari sudut pelajaran dan kerjaya kekasih. Biar mereka yakin dengan perancangan masa depan kalian. Ini kerana keyakinan itu adalah sangat penting untuk mereka menyetujui hubungan adik berdua.
Pilihan sama ada bernikah di Siam tanpa pengetahuan keluarga atau terus hidup bergelumang dosa jika perlu menunggu restu keluarga menunjukkan seolah-olah adik sudah membuat keputusan.
Dalam hal ini, adik perlu melihat alternatif lain seperti mencari penyelesaian kepada faktor-faktor penyebab keluarga menghalang, meminta kekasih mencari pekerjaan yang tetap atau menceritakan sebab sebenar adik ingin berkahwin.
Langkah itu akan membuka peluang kepada perbincangan yang lebih baik dengan ibu bapa dan kebarangkalian untuk mendapatkan persetujuan daripada mereka adalah tinggi.
Adik juga boleh berjumpa dengan Jabatan Agama untuk mendapatkan nasihat dan maklumat terperinci mengenai perkahwinan yang tidak direstui ibu bapa tetapi perlu untuk mengelak daripada berterusan melakukan dosa.
Enggan terus berzina
Saturday, January 16, 2010
Posted by Berita Sentral Semasa Terkini at 12:37 AM
Labels: Doktor dan Anda, Keluarga dan Islam, Kesihatan dan Anda, Pedoman Hidup, Wanita dan Kehidupan, Zina
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
0 comments:
Post a Comment