Hati- Hati Makan Kari Kepala Ikan..

Monday, March 22, 2010

Tergigit mata kail ketika nikmati kari ikan sembilang


FAUZIAH menunjukkan mata kail yang dijumpai di dalam kari ikan sembilang ketika ditemui di rumahnya, semalam.

GEORGETOWN: Hasrat tiga sekeluarga menikmati kari ikan sembilang di sebuah restoran di Sungai Dua, di sini terbantut apabila seorang daripada mereka tergigit mata kail patah yang melekat pada isi ikan berkenaan.

Kejadian berlaku pada jam 12 tengah hari kelmarin ketika Fauziah Awang Kechik, 42, bersama suami dan anaknya, memesan kari kepala sembilang untuk hidangan tengah hari mereka.

Sebaik menjamah hidangan itu, Fauziah mendakwa, dia tergigit benda keras bersama daging ikan berkenaan, yang disangka batu.

Namun, selepas mengeluarkan objek berkenaan daripada mulutnya, dia mendapati ia adalah mata kail yang sudah patah. Dia turut berasa sakit di bahagian dalam pipi kiri akibat terkena mata kail itu.

“Selepas mengeluarkan mata kail, suami saya memaklumkan kepada pemilik restoran, tetapi dia hanya meminta maaf. Saya kesal dengan sikap lepas tangan pemilik restoran itu,” katanya di sini, semalam.

Fauziah berkata, pemilik restoran terbabit kembali semula ke meja mereka dan memberitahu tidak perlu membayar kari ikan itu, tetapi tidak mengendahkan mulutnya yang cedera.

“Pada mulanya, lelaki itu tidak mengaku dia pemilik restoran tetapi selepas diugut suami, dia mendiamkan diri serta memulangkan duit supaya kami tidak membesarkan isu itu,” katanya.

Sementara itu, isteri pemilik restoran berkenaan, Habibah Abdul, 41, ketika dihubungi mengesahkan kejadian itu, tetapi menafikan pihaknya bersikap lepas tangan.

“Suami saya meminta maaf kepada pasangan terbabit tetapi mereka seolah-olah mengharapkan pampasan,” katanya.

“Saya sedia bersemuka dengan pasangan berkenaan, jika mereka ingin mengambil tindakan. Kami tidak bersalah,” katanya.

Wanita itu berkata, mereka mengusahakan perniagaan itu sejak 18 tahun lalu dan ini kali pertama pelanggan mendakwa menjumpai mata kail yang patah dalam kari ikan di restoran itu.

0 comments:

Related Posts with Thumbnails

Isu Semasa

NST Online

The Star Online

Malay Mail Online

Berita Harian

Harian Metro

Malaysiakini