Leceh guna lorong motor

Thursday, March 18, 2010

PUTRAJAYA: Kurang selamat dan melecehkan. Itu antara alasan yang dikemukakan penunggang motosikal terhadap penguatkuasaan penggunaan lorong motosikal di bandar ini bermula 1 April lalu.

Selain itu, laluan berkenaan juga didakwa sebagai tidak relevan berikutan jalan raya di Putrajaya mempunyai tiga lorong dan mengalami kesesakan pada waktu puncak saja.

Tinjauan Metroplus di lorong motosikal mendapati ia berbahaya dan tidak selamat kepada penunggang terutama di kawasan yang berbukit dan sunyi.

Malah, sejak dikuatkuasakan awal bulan ini, jumlah penunggang motosikal yang patuh dengan peraturan baru itu boleh dihitung dengan jari berikutan lebih ramai yang selesa menggunakan laluan biasa.

Pegawai keselamatan, Rozdi Mokhtar, 33, yang setiap hari berulang alik dari Kajang ke Putrajaya menggunakan motosikal berpendapat penguatkuasaan peraturan terbabit melecehkan dan merumitkan.

“Saya bukan tidak menyokong penguatkuasaan peraturan ini, tetapi sebagai pengguna yang setiap hari menggunakan motosikal, ia tidak selamat bagi penunggang,” katanya.

Menurutnya, laluan motosikal itu tidak diselenggara dengan baik dan membahayakan keselamatan penunggang dan pembonceng.

“Laluan motosikal biasanya sunyi dan ada juga yang mengelirukan apatah lagi kepada mereka yang pertama kali menggunakan kemudahan itu. Kadang-kadang ada pasir, paku dan longgokan tanah,” katanya.

Menurutnya, ada juga laluan motosikal yang sempit menyebabkan penunggang terpaksa memperlahankan kelajuan supaya tidak berlaku kemalangan.

Bagi Redzuan Din, 24, penguatkuasaan peraturan itu satu langkah yang baik memandangkan Putrajaya adalah bandar pentadbiran pintar namun perlu beberapa penambahbaikan.

“Sebelum peraturan ini dikuatkuasakan, saya memang menggunakan laluan motosikal tetapi perlu lebih berhati-hati memandangkan keadaan jalan kurang elok,” katanya.

Katanya, penunggang yang menggunakan laluan itu juga mudah terdedah kepada bahaya pada waktu malam kerana suasana sunyi dan tidak banyak kenderaan.

“Pada waktu malam, selain terdedah kepada kemalangan, penunggang juga berisiko untuk dirompak dan disamun,” katanya.

Menurutnya, sekiranya laluan motosikal dinaik taraf dan dijaga, penguatkuasaan peraturan jalan raya itu tidak akan menjadi masalah kepada penunggang.

“Tidak menjadi masalah kepada penunggang motosikal untuk menggunakan laluan berkenaan sekiranya ia diselenggara dengan baik serta mesra pengguna kerana kami tidak mahu keselamatan terancam hanya kerana mahu mengikut peraturan,” katanya.

Sementara itu, Timbalan Pengarah Kanan Bahagian Trafik dan Pengangkutan Perbadanan Putrajaya (PPj), Ab Rahim Junoh berkata, proses menaik taraf laluan motosikal di Putrajaya sedang giat dijalankan.

“Sebelum menguatkuasakan peraturan ini, kami sudah menaik taraf beberapa laluan motosikal, malah sedang merancang untuk meneruskan kerja penambahan lorong bagi memberi keselesaan kepada penunggang,” katanya.

Menurutnya, penunggang motosikal perlu mematuhi peraturan kerana ia bukan dikuatkuasakan tanpa tujuan sebaliknya untuk kebaikan pengguna.

0 comments:

Related Posts with Thumbnails

Isu Semasa

NST Online

The Star Online

Malay Mail Online

Berita Harian

Harian Metro

Malaysiakini