PROTON Holdings Berhad (Proton) yakin dapat mencapai pertumbuhan jualan domestik kenderaannya antara enam dan tujuh peratus pada tahun ini berikutan prestasi jualan semasa yang semakin kukuh.
Pengarah Urusannya, Datuk Syed Zainal Abidin Syed Mohamed Tahir, berkata unjuran itu hampir sama dengan pertumbuhan yang dicatatkan syarikat pengeluar kereta nasional itu pada tahun lalu.
Beliau berkata, permintaan untuk kenderaan keluaran Proton begitu memberangsangkan dan positif terutama dengan model baru. “Berdasarkan jualan semasa yang terus kukuh serta rancangan memperkenalkan model baru selain model sedia ada yang diberi nafas baru, saya percaya Proton dapat mencapai unjuran disasarkan.
“Malah, persepsi dan permintaan terhadap model keluaran Proton kini semakin baik dan tahun ini juga, kami menjangkakan pertumbuhan besar untuk eksport dan sedang menilai angkanya,” katanya sempena kunjungan pegawai pengurusan kanan Proton ke The News Straits Times Press (M) Bhd (NSTP), semalam.
Menurutnya, pada tahun ini juga, Proton akan memperkenalkan model baru selain memberi wajah baru terhadap model sedia ada.
Bagaimanapun, katanya, model utama yang menyumbang kepada pertumbuhan besar Proton adalah Saga, Exora serta Persona. “Model Saga terus kekal sebagai model terlaris dengan jualan melebihi 7,000 unit sebulan diikuti Persona lebih 4,000 unit sebulan serta Exora 2,500 unit sebulan.
“Kami percaya melalui tiga model utama ini, ia dapat meningkatkan jumlah jualan sedia ada dan Proton akan terus memastikan model terbabit menjadi pilihan pengguna serta kukuh bukan saja di pasaran domestik, malah antarabangsa,” katanya.
Beliau berkata, pihaknya turut bekerjasama dengan pengedar dan pihak lain bagi memastikan lebih banyak unit kenderaan dapat dijual serta memenuhi tempahan pelanggan.
Mengulas mengenai model baru Proton, beliau berkata, pada tahun ini, pihaknya akan memperkenalkan model gantian untuk Proton Waja.
Menurutnya, selain Waja, pada awal tahun depan, model Exora Turbo juga akan berada di pasaran apabila ia dijangka disiapkan akhir tahun ini.
Sumber: Berita Harian
Saga model terlaris
Wednesday, April 21, 2010
Posted by Berita Sentral Semasa Terkini at 10:38 AM
Labels: Berita Harian, Proton
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
0 comments:
Post a Comment