Elak terima gaji syubhah

Sunday, May 23, 2010

SAYA bekerja sebagai eksekutif bahagian pembangunan produk di sebuah syarikat dan terbabit secara langsung setiap kali produk baru dikeluarkan bagi tujuan pembangunan.

Namun, lazimnya apabila produk dikeluarkan itu memasuki tahap pengeluaran, tugas dan kerja yang saya lakukan turut berkurangan dan pada satu tempoh, boleh dikatakan saya langsung tidak mempunyai kerja untuk dilakukan hingga mencecah tempoh berminggu-minggu lamanya.

Apabila keadaan ini berlaku, kebanyakan waktu kerja saya habiskan dengan melayari Internet, bersembang di talian atau keluar atas urusan peribadi seperti pergi ke bank atau membayar bil.

Persoalannya, disebabkan faktor itu saya sering tertanya mengenai status pekerjaan saya, terutama membabitkan gaji yang diterima sama ada ia berkat atau tidak.

Untuk pengetahuan ustaz, bukan saya sengaja menghabiskan waktu kerja dengan melakukan perkara sedemikian, sebaliknya ia kerana ketiadaan kerja untuk dilakukan dan keadaan ini juga dialami rakan yang turut bekerja dalam bahagian pembangunan produk.

Saya berharap ustaz dapat memberi pandangan serta jawapan mengenai persoalan ini supaya menjadi panduan kepada saya serta rakan berikutan saya mengharapkan kerja yang dilakukan diberkati Allah SWT.


Jawapan

Alhamdulillah, apabila muncul perasaan risau dan mengambil berat akan pendapatan kita, itu satu tanda baik terhadap iman dalam diri seseorang itu.

Ini diterangkan dalam sabda Rasulullah SAW yang memberi jaminan kebaikan kepada mereka yang menjauhi syubhah: “Barang siapa menjauhi syubhah, telah selamatlah agama dan kehormatannya dan barang siapa menyertai syubhah, ia seolah-olah telah jatuh dalam yang haram. (Riwayat Muslim)

Berdasarkan pertimbangan hukum, kedudukan gaji seseorang menjadi tanggungan majikan menerusi kontrak kerja (Aqd al-Amal) seperti mana kisah Nabi Musa AS dan Nabi Syuaib AS diterangkan dalam Al-Qasas ayat 27 seperti dikatakan Nabi Syuaib AS: “Sesungguhnya aku bermaksud menikahkan kamu dengan seorang dari kedua-dua anakku, atas dasar bahawa kamu bekerja denganku lapan tahun dan jika kamu cukupkan 10 tahun maka itu adalah (suatu kebaikan) daripada kamu, maka aku tidak hendak memberkati kamu. Dan kamu insya-Allah akan mendapatiku termasuk orang-orang yang baik.”

Menerusi ayat ini, jelas Nabi Syuaib AS menawarkan kontrak selama lapan tahun kepada Nabi Musa AS.

Jadi, dalam konteks kerjaya pada masa kini, setiap tugasan dan tanggungjawab diberi sudah diperincikan di dalam kontrak yang bermaksud kerjaya seseorang itu melayakkan dia menerima gaji berdasarkan tugasannya.

Jenis dan karakter tugasan itu perlu dirujuk untuk melihat sama ada gaji diterima boleh berubah menjadi syubhah dan haram, yakni berdasarkan kontrak dipersetujui menerusi bentuk kerja yang diterima seperti berikut;

1. Sambilan, iaitu sebarang kerja yang dibayar berdasarkan jam kerja tanpa mengira apa jenis kerja itu

Menerusi kerjaya ini, pekerja dibayar berdasarkan waktu kerja yang dilakukan untuk tempoh tertentu dan jika tugasan diberi berjaya diselesaikan sebelum tamat tempoh bekerja, seseorang itu perlu melakukan sebarang kerja yang boleh dilaksanakannya.

Jadi, apabila seseorang itu tidak melakukan tugas, setiap minit dan jam yang dibayar itu boleh membawa kepada syubhah.

2. Gaji dibayar menerusi tugasan tertentu, di mana ada kalanya berkemungkinan disiapkan lebih awal atau melebihi waktu kerja yang ditetapkan

Antara contoh kerja ini adalah konsultan, penterjemah dan pensyarah yang diberi kerja untuk menyiapkan tugasan tertentu.

Pensyarah contohnya dikehendaki mengajar dalam jam tertentu manakala baki waktu adalah untuk melakukan kajian dan mendalami ilmu berkaitan dengan bidangnya bagi menambah kepakaran dirinya.

Bagi konsultan, menyiapkan tugasan ini mungkin tidak dihadkan oleh sesuatu jam tertentu, yakni tidak kira berapa lama jam diperlukan untuk menyiapkannya, pembayarannya ditetapkan lebih awal.

Maka, jika konsultan dan pensyarah ini melayari Internet sekali sekala bagi membuat kajian, menenangkan fikiran atau apa juga perkara yang tidak bercanggah sama sekali dengan sifat kerjanya, maka pada pendapat saya, gajinya tetap kekal sebagai halal dan harus.

Bagi penterjemah pula, apabila habis terjemahan yang dibuat, tiadalah gaji diberikan untuk waktu lain kerana gaji yang diterima berdasarkan projek dan tugasan tertentu saja. Melayari Internet, berehat dan seumpamanya bagi petugas dalam bidang ini juga tiada masalah kerana gajinya dibayar bukan berdasar masa tetapi tugasan yang diberi.

Jika kerja dapat disiapkan segera, tentu dia bakal memperoleh pendapatan dengan lebih segera. Jika dia banyak menghabiskan masanya untuk layari Internet, lambat pulalah gaji dapat dinikmati.

3. Kerja yang diikat dengan tempoh waktu tertentu setiap hari, sama ada terdapat kerja atau tidak, pekerja perlu ada di pejabat sepanjang tempoh berkenaan

Kerja begini biasanya membabitkan kakitangan kumpulan sokongan atau profesional di bahagian pentadbiran dan pengurusan, sama ada dalam sektor kerajaan atau swasta.

Sebagai contoh, kumpulan ini terikat dengan waktu kerja ditetapkan yang memerlukan mereka masuk kerja setiap hari dari jam 9 pagi hingga 5.30 petang.

Namun, seperti kita sedia maklum, ada kalanya mereka bekerja melebihi tempoh itu untuk menyiapkan tugasan diberi lebih awal, sekali gus menyebabkan mereka mempunyai kelapangan pada waktu kerja yang ditetapkan.

Pada pendapat saya, gaji diterima tetap halal kerana komitmen terhadap kerja yang dilakukan selagi mana seseorang itu tidak menjejaskan prestasinya atau menyebabkan syarikat terpaksa mengeluarkan kos berlebihan.

Namun, cara terbaik adalah dengan memanfaatkan waktu kosong itu dengan aktiviti berfaedah dan meningkatkan kepakaran diri.

Justeru, merujuk kepada soalan saudara, ia terjatuh di dalam kategori ketiga iaitu saudara perlu sentiasa kekal di tempat kerja walaupun tiada tugasan diterima ketika itu.

Namun seperti disebutkan tadi, sebaik-baiknya waktu itu dimanfaatkan dengan sebaik-baiknya, terutama dalam meningkatkan ketakwaan kepada Allah SWT.

Tiada unsur haram berlaku walau banyak masa dihabiskan dengan rehat dan melayari Internet asalkan saja ia tidak mengganggu tugasan utama dan kerja sampingan yang dipertanggungjawabkan.

Manusia bukan mesin yang mampu bekerja setiap saat, jadi rehat mereka dalam tempoh tertentu pada hemat saya masih tergolong dalam takrif ‘kerja’ kerana kerja yang baik dan berkualiti memerlukan tubuh dan minda yang sihat dan segar.

Dalam konteks ini, rehat sangat diperlukan tetapi jangan terlebih rehat sehingga termasuk dikategorikan sebagai ‘curi tulang’ bagi mengelak ia jatuh dalam kategori syubhah.

0 comments:

Related Posts with Thumbnails

Isu Semasa

NST Online

The Star Online

Malay Mail Online

Berita Harian

Harian Metro

Malaysiakini