Kes Bunuh Datuk Sosilawati: Forensik masih siasat Ladang Gadong

Friday, September 17, 2010


KUALA LANGAT: Kenderaan anggota forensik polis masih kelihatan memasuki kawasan lokasi pembunuhan jutawan kosmetik, Datuk Sosilawati Lawiya di Ladang Gadong milik suspek utama kes itu, di sini.

Tinjauan berhampiran lokasi berkenaan melihat kenderaan forensik itu memasuki kawasan terbabit seawal jam 8.30 pagi dan keluar semula beberapa jam kemudian.


Sebuah kereta peronda polis turut ditempatkan di laluan utama iaitu kira-kira 600 meter dari lokasi ladang milik suspek terbabit.


Semua kenderaan yang melalui laluan itu ditahan dan disoal sebelum diarah berpatah balik dan meninggalkan kawasan ladang.


Petugas media juga masih terus berkampung di sebuah kuil berhampiran bagi mengawasi dan memantau lokasi pembunuhan Sosilawati dan tiga orang lain yang dilaporkan hilang sejak 30 Ogos lepas sebelum didapati dibunuh dan dibakar di ladang berkenaan.


Selain petugas media, beberapa kenderaan yang melalui jalan utama memperlahankan kenderaan, malah ada yang berhenti untuk melihat serta meninjau kawasan berhampiran.


Sementara itu, seorang lelaki yang juga pengusaha kantin di sekolah berhampiran dan hanya mahu dikenali sebagai Uncle berkata, dia masih sukar mempercayai kejadian itu berlaku di lokasi berkenaan.


“Ketika hari awal kejadian saya nampak ramai orang saya ingat ada penggambaran filem, tetapi bila baca surat khabar dan tengok televisyen baru saya tahu ada kejadian bunuh,” katanya. — Bernama


0 comments:

Related Posts with Thumbnails

Isu Semasa

NST Online

The Star Online

Malay Mail Online

Berita Harian

Harian Metro

Malaysiakini