Wanita nafi bersuami dua

Wednesday, September 29, 2010

SHAH ALAM: “Saya tidak pernah bersuami dua seperti didakwa ibu, malah perkahwinan bersama suami baru dilakukan mengikut proses undang-undang sah dan didaftarkan di Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi),” kata Shazlinda Che Ali, 35, menafikan dakwaan ibunya, Muliani Mahmud, 54.

Menurutnya, dia yang bernikah dengan suami baru di Masjid Kampung Pandan, Kuala lumpur Februari lalu sehingga kini masih sah suami isteri dan tidak pernah bercerai seperti didakwa ibunya.


Katanya, ibunya membuat pelbagai dakwaan kerana keengganannya menyerahkan semula anak perempuannya berusia lima tahun yang sebelum ini dipelihara Muliani.


“Perkahwinan dengan suami terdahulu dilakukan di Thailand kerana saya adalah isteri kedua, bagaimanapun selepas tiga tahun saya memohon fasakh apabila suami menghilangkan diri dan gagal memberi sebarang nafkah. Malah surat pengesahan fasakh saya juga sehingga kini disimpan ibu.


“Saya hairan mengapa ibu sanggup memalukan saya dengan dakwaan dan fitnah seperti itu, malah ibu sendiri hadir sewaktu pernikahan saya bersama suami baru,” katanya ketika ditemui di sini, semalam.


Kelmarin, Harian Metro melaporkan Muliani keliru dengan tindakan Shazlinda yang didakwanya berkahwin lain dengan seorang kakitangan kerajaan di sini, walaupun masih belum bercerai dengan suami pertama dikenali sebagai Hassim, 48.


Muliani berkata, keliru dan bingung dengan tindakan anaknya, menyebabkan dia enggan menghadiri majlis perkahwinan mereka.


Malah, dia turut mendakwa perkahwinan Shazlinda hanya bertahan selama tiga bulan sebelum diceraikan dengan talak tiga, bagaimanapun anaknya itu masih tinggal bersama bekas suami yang dikatakan sering mendera cucunya.


Shazlinda berkata, itu bukan dakwaan tidak berasas pertama dibuat ke atasnya, malah sebelum ini, ibunya membuat aduan di Agensi Anti Dadah Kebangsaan menyatakan dia dan suami terbabit dengan dadah. Malah, gagal dengan taktik itu, ibunya sekali lagi membuat aduan di Talian Nur kononnya anaknya didera.


“Semua itu adalah fitnah, Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) ada datang ke rumah untuk memeriksa dan mendapati anak saya dalam keadaan baik, ujian saringan air kencing juga kami negatif. Ibu melakukan semua ini semata-mata mahu memastikan dia mendapat kembali anak saya.


“Cukuplah dua anak saya hasil perkahwinan sebelum ini dipelihara ibu. Berilah saya peluang memelihara anak bongsu saya ini kerana sebagai ibu saya mempunyai naluri dan keinginan mendidik sendiri anak yang dilahirkan,” katanya.

Menurutnya, dia sama sekali tidak menyangka ibunya sanggup membuat dakwaan menjatuhkan maruah mereka suami isteri walaupun sebelum ini Muliani pernah mengugut melalui SMS supaya dia mengembalikan semula anaknya, sekiranya gagal ibunya akan memujuk bekas suami menyatakan perceraian mereka tidak sah.

0 comments:

Related Posts with Thumbnails

Isu Semasa

NST Online

The Star Online

Malay Mail Online

Berita Harian

Harian Metro

Malaysiakini