Kereta mewah import guna nombor casis palsu

Wednesday, October 13, 2010

KUALA LUMPUR: Sindiket penipuan jualan kereta mewah jenama import yang menggunakan nombor casis palsu kini semakin licik apabila dikesan melakukan pengubahan nombor pengeluaran kenderaan terbabit ketika kenderaan itu masih berada di luar negara lagi.


PALSU...Mohd Nadzri menunjukkan enjin Mercedes Benz model CLS 350 yang dikikis nombornya.

Kes pertama kali dikesan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) itu membabitkan sebuah kereta Mercedes Benz model CLS 350 yang diubah nombor casis dan enjinnya sebelum dibawa masuk serta cuba didaftarkan di negara ini oleh pihak pembekal atau pengimport kereta di sini.

Difahamkan, kereta yang dianggarkan berharga RM500,000 itu diimport dari United Kingdom (UK) dan cuba didaftarkan pada 24 Jun lalu, namun pemeriksaan awal Pusat Pemeriksaan Kenderaan Berkomputer (Puspakom) mendapati terdapat gangguan terhadap nombor casis dan enjinnya.

Kenderaan terbabit dirujuk kepada JPJ sebelum didapati ia kenderaan yang dipercayai dicuri di luar negara sebelum cuba dibawa ke Malaysia.

Pengarah JPJ Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Mohd Nadzri Osman, berkata sebaik menerima kereta berkenaan pihaknya melalui Unit Siasatan Kenderaan (USK) menjalankan siasatan dengan melakukan beberapa prosedur pemeriksaan termasuk ujian kimia dan kerjasama Interpol.

Menurutnya, kereta mewah yang dikeluarkan di Jerman pada tahun 2005 itu, dijual ke UK sebelum diubah nombor casis serta dikikis nombor enjin untuk dibawa masuk ke negara ini.

“Selepas laporan ujian kimia diperoleh baru-baru ini, kami dapati nombor casis sudah diubah dan hasil siasatan serta bantuan daripada Interpol berjaya mengesan nombor casis asal kereta terbabit digunakan kereta lain di Jepun.

“Kami juga dapati pihak pembekal atau pengimport kereta terbabit tidak mengetahui perkara berkenaan dan dipercayai ditipu pengedar di UK,” katanya di sini, semalam.

Mohd Nadzri berkata, dengan hasil siasatan terbabit pihaknya tidak meluluskan pendaftaran kereta berkenaan dan ia akan diserah semula kepada pengimport untuk tindakan lanjut. Kereta terbabit juga diklasifikasikan sebagai kereta ‘scrap’ yang tidak boleh didaftarkan bagi mengelak daripada sebarang masalah lain di kemudian hari.

0 comments:

Related Posts with Thumbnails

Isu Semasa

NST Online

The Star Online

Malay Mail Online

Berita Harian

Harian Metro

Malaysiakini