Anugerah Shout! janji kelainan

Thursday, November 11, 2010

Iyaz bakal memeriahkan kemuncak majlis anjuran 8TV pada 20 November



TAHUN lalu mereka mengundang Sean Kingston untuk menghiburkan penonton anugerah itu. Manakala tahun ini, penganjur membawa penyanyi yang popular dengan lagu Replay iaitu Iyaz sebagai undangan untuk menyerikan lagi Anugerah Shout! 2010 yang berlangsung di Stadium Putra, Bukit Jalil pada 20 November depan.

Pengurus Besar 8TV, Lam Swee Kim berkata pemilihan Iyaz sejajar dengan populariti penyanyi kelahiran Tortola, British Virgin Islands.

“Dia popular dan lagunya juga disiarkan di stesen radio serta menduduki senarai carta. Jadi kami merasakan Iyaz antara penyanyi antarabangsa yang sesuai sebagai penyanyi undangan Anugerah Shout!.

“Apa yang membanggakan, kedatangan Iyaz di sini bukanlah kerana dia mahu menjayakan promosi albumnya di sini tetapi dia ke Kuala Lumpur semata-mata kerana mahu memeriahkan acara ini,” kata Kim.

Turut membuat persembahan ada malam kemuncak yang akan diadakan di Stadium Putra, Bukit Jalil itu, ialah Faizal Tahir, Royal Force, Deja Voodoo Spells, Mizz Nina, Hujan, They will Kill Us, Bitter Sweet, Love Me Butch, Yuna, Najwa, James baum, Reshmonu, Arafah, Tactmatic, Sean Lee, Shazat, Wakaka Crew dan Giller Battle Crew.

Manakala barisan personaliti yang dipilih untuk menyampaikan trofi terdiri daripada Adibah Noor, Ning Baizura, Arabyrd, Tactmatic, Zizan, Johan, Sasi The Don, Liyana Jasmay, Hans Isaac, Chef Wan, Qi, Nora Danish, Diana Damielle, Andrea Fonseka, Bunkface dan Maya Karin. Acara itu juga akan dikendalikan oleh tiga pengacara iaitu Hafiz Hatin, Sarah Lian dan Henry Golding.
Sememangnya, cabaran untuk menjayakan majlis anugerah biasanya berkait rapat dengan acara persembahan. Pemilihan penyanyi dan lagu haruslah bertepatan supaya acara itu nanti berlangsung dengan jayanya dan diingati mereka yang menontonnya.

Justeru, tidak hairanlah andai melihat barisan penyanyi yang membuat persembahan pada kemuncak Anugerah Shout! 2010 nanti, kebanyakannya bukan dari penyanyi arus perdana.

Bukan tidak ada cuma jumlahnya tidaklah banyak. Perkara ini diakui oleh Pengarah Eksekutif 8TV, Ahmad Izham Omar sambil menyifatkan itulah kelainan yang ditonjolkan untuk Anugerah Shout!.

“Tidak dinafikan, sukar untuk kami memerah idea, mencari apakah konsep sesuai untuk anugerah ini kerana kita sendiri mempunyai banyak acara anugerah. Sebagai tarikan untuk sesebuah acara, sememangnya kami menitikberatkan soal persembahan. Disebabkan itulah kami cuba membuat kelainan dengan tidak menampilkan ramai penyanyi dari arus perdana.

“Selain itu, kami tidak menjadikan pentas anugerah ini sebagai tempat untuk mereka mempromosikan lagu baru. Sebaliknya, di situ mungkin kami meminta mereka menyanyikan lagu yang bukan nyanyian asal mereka ataupun mengubah sesebuah lagu itu dengan susunan muzik berbeza. Pendek kata, kita akan membuat kelainan untuk konsert itu nanti,” katanya ketika ditemui pada sidang media bagi mengumumkan senarai penyampai anugerah serta penyanyi yang membuat persembahan pada malam kemuncak Anugerah Shout! 2010 baru-baru ini.

Hadir sama Naib Presiden Kanan Bahagian Pemasaran Celcom, Zalman Aefendy Zainal Abidin,

Tambah Izham, selain menyuntik kelainan, mereka juga ingin memberi peluang kepada penyanyi yang selama ini tidak berpeluang membuat kemunculan dalam acara anugerah lain menonjolkan kebolehan mereka di situ.

“Selalunya dalam mana-mana anugerah, kita akan lihat penyanyi yang sama membuat persembahan. Jadi, sebagai kelainan, kita tampilkan penyanyi berbeza yang bersesuaian dengan konsep urban yang menjadi trademark kita selama ini. Lagipun tujuan kita membuat Anugerah Shout! adalah untuk membawa revolusi baru dalam majlis penganugerahan.

“Dari segi kategori anugerah saja sudah berbeza dengan acara lain. Begitulah juga dengan penyanyi yang membuat persembahan serta menyampaikan trofi, pastinya kita mahu yang berbeza dari apa yang pernah kita tonton. Kebanyakan mereka popular dan mempunyai pengikut mereka tersendiri. Ini juga menunjukkan sokongan kita membawa revolusi baru dalam industri muzik tanah air,” katanya. Ditanya bagaimanakah penerimaan khalayak terhadap acara ini, Izham berkata sambutannya amat menggalakkan kerana mereka sudah mula memahami apa sebenarnya tujuan anugerah itu diadakan.

”Tahun lalu ramai tertanya-tanya apakah kesesuaiannya kepada industri hiburan. Kini mereka memahami tujuannya dan mula memberi perhatian. Senarai pencalonan tahun ini meningkat 30 hingga 40 peratus, menunjukkan peningkatan yang membanggakan,” jelasnya.

0 comments:

Related Posts with Thumbnails

Isu Semasa

NST Online

The Star Online

Malay Mail Online

Berita Harian

Harian Metro

Malaysiakini