Sultan Selangor dukacita orang Melayu sanggup gadai Melayu
SHAH ALAM: Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah semalam melahirkan rasa sedih dan dukacita terhadap orang Melayu yang tidak lagi megah dan bangga sebagai orang Melayu sehingga sanggup menggadaikan perkataan ‘Melayu’ untuk dikuburkan serta lenyap dari dunia.
Baginda juga sedih kerana ada segelintir individu yang berhijrah ke negeri itu, terutama orang Melayu, sanggup mempersoalkan peranan institusi Raja Melayu serta kedudukan dan hak keistimewaan bangsa Melayu.
Sultan Selangor bertitah, golongan itu turut mempersoalkan kerelevanan institusi Raja Melayu serta peranannya dalam sistem pemerintahan negara ketika ini.
“Matlamat mereka supaya sistem Raja Berperlembagaan ini disemak dan dikaji semula atas alasan negara sudah menjalani arus pemodenan dan sistem yang diamalkan sekarang ini sudah tidak bersesuaian, amat tidak bertepatan,” titah baginda pada Wacana Raja Berperlembagaan-Perspektif Sejarah, Kini dan Masa Depan di sini, semalam.
Sultan Sharafuddin bertitah, ada juga suara lantang di kalangan orang Melayu sendiri yang meminta perkataan ‘Melayu’ dihapuskan daripada ungkapan ‘Raja-Raja Melayu’.
Baginda percaya perbuatan itu dilakukan untuk kepentingan diri atau politik mereka.
“Sejarah ditulis oleh orang Inggeris ada menyatakan mengenai ‘Tanah Melayu’, ‘Negeri Melayu Bersekutu’ dan ‘Raja Melayu’, sekali gus membuktikan penulis Barat ketika itu mengiktiraf adanya Melayu yang memulakan sejarah negara ini.
“Beta berasa sedih dengan generasi sekarang yang malu mengaku diri mereka seorang Melayu,” titah baginda.
Sultan Selangor menegaskan bukan tujuan baginda untuk menyalakan api perkauman, tetapi ingin menyatakan bahawa rakyat Selangor mesti berbangga dengan negeri ini membabitkan kaum Cina, India dan Melayu serta kaum lain.
Baginda bertitah, keamanan di Selangor dibanggakan dunia luar kerana negeri itu mempunyai tamadun yang maju dengan kepesatan ekonomi terbina atas keharmonian ketiga-tiga kaum.
Sultan Sharafuddin juga mahu rakyat Selangor memahami sejarah negeri itu supaya tidak timbul syak wasangka antara satu sama lain.
“Kepada rakyat Melayu, beta ingin menyedarkan bahawa rakyat Melayu tidak akan hilang begitu saja kerana negeri ini adalah tanah tempat tumpah darah kita, dan di tanah bertuah ini juga tempat kita dikuburkan,” titah baginda.
Baginda bertitah, sejarah yang tercatat sejak beratus-ratus tahun lalu menunjukkan bahawa Raja-Raja Melayu sudah membuka serta membangunkan negeri di Tanah Melayu sehingga menjadi sebuah negara maju, selain menempa peristiwa membanggakan sehingga mampu bersaing dengan negara lain di dunia.
“Oleh itu, dengan mengetahui sejarah, kita dapat menilai betapa susah payahnya kita berjuang untuk mencapai keamanan yang kita peroleh sekarang,” titah baginda yang sukacita dengan langkah kerajaan menjadikan Sejarah sebagai mata pelajaran wajib di sekolah.
Baginda percaya mewajibkan mata pelajaran Sejarah akan membuka minda dan kefahaman pengetahuan berhubung perkara penting yang berlaku dalam sejarah tanah air bagi mengelak timbul syak wasangka dan persoalan mencurigakan hingga wujud salah faham sesama rakyat.
Beta sedih
Monday, November 29, 2010
Posted by Berita Sentral Semasa Terkini at 10:05 AM
Labels: Isu Semasa, sultan selangor dukacita orang melayu sanggup gadai melayu
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
0 comments:
Post a Comment