Peguam Jefri nafi curi RM22j

Friday, November 26, 2010



NEW YORK: Seorang wanita dituduh menggunakan wang berjuta dolar milik seorang putera raja daripada jualan hartanah untuk membeli rumah, barang kemas mahal dan memindahkan sejumlah besar wang daripada salah satu akaun milik putera itu ke akaunnya sendiri.

Bagaimanapun, bekas peguam kepada Putera Jefri Bolkiah dari Brunei memberitahu mahkamah, semalam, ia adalah bayaran yang diterimanya untuk sebahagian tugas yang dilakukan dan dia tidak mencuri seperti didakwa putera itu.

Jefri yang mendapat gelaran ‘Putera Playboy’, seorang anggota keluarga diraja antara paling kaya di dunia berkata, Faith Zaman Derbyshire dan suaminya, Thomas Derbyshire menyalahgunakan dana miliknya apabila mencuri AS$7 juta (RM22.4 juta) wangnya. Pasangan itu pula berkata, Jefri berhutang lebih AS$12 juta (RM38.4 juta) untuk bayaran yuran guaman dan mempunyai pengesahan mengenainya.

Jefri, adik bongsu Sultan Brunei, Sultan Hassanal Bolkiah dikenali dengan gaya hidup mewah. Beliau pernah memiliki lebih 2,000 kereta dan 600 hartanah, menurut Mahkamah Delaware. Sejak sedekad lalu, beliau banyak menghabiskan waktu menentang kerajaan pemerintahan abangnya yang mendakwa Jefri menggelapkan hampir AS$ 16 bilion (RM51.2 bilion) daripada tabung kerajaan Brunei ketika memegang jawatan menteri kewangan, nyaris-nyaris menyebabkan negara di kepulauan Borneo itu muflis. Jefri menafikan tuduhan itu tetapi bersetuju untuk membayar wang kepada dana pelaburan di Brunei pada tahun 2000. Jefri melantik pasangan Derbyshire itu pada 2004 untuk menangani kes pertikaiannya dengan kerajaan Brunei yang menggesa beliau memulangkan semula asetnya. Kedua-duanya adalah peguam yang berpusat di London.

Dalam keterangannya minggu lalu, Jefri memberitahu beliau memberi kuasa penuh kepada pasangan Derbyshire untuk mengendalikan kes dan membantunya menguruskan perniagaannya. Beliau tidak menyedari penipuan dilakukan pasangan itu sehinggalah mereka menggunakan kuasa seperti membeli barang kemas menggunakan kad kredit miliknya.

Jumaat lalu, Faith dengan tenang menjelaskan mengenai beberapa siri transaksi yang dipersoalkan putera itu.

Dia mengambil wang AS$4 juta (RM12.8 juta) hasil jualan ladang milik Jefri di Las Vegas untuk membeli kediaman di Manhattan Beach di California kerana ‘Jefri menyuruhnya menyimpan wang hasil jualan itu untuk bayaran yuran perkhidmatan guaman yang diberikan’. Jumlah yuran perkhidmatan masih dipertikai tetapi kedua-dua pihak berkata, Jefri bersetuju untuk membayar pasangan itu sekurang-kurangnya 2 juta pound (RM10 juta) setahun. Menurut Faith, pemindahan AS$100,000 (RM320,000) daripada salah satu akaun bank milik putera itu sama ada untuk perbelanjaan satu daripada hartanah milik putera itu ataupun sebagai ganti wang pasangan itu yang didahulukan. Faith berkata, mereka mendahulukan AS$500,000 (RM1.6 juta) untuk hartanah terbabit tetapi hanya mengambil balik AS$200,000 (RM640,000). Manakala, dua jam tangan Rolex dan seutas jam Cartier bernilai AS$16,000 (RM51,200) yang dibeli Faith menggunakan wang Jefri bukan untuk mereka tetapi anggota keluarga diraja itu. - AP

0 comments:

Related Posts with Thumbnails

Isu Semasa

NST Online

The Star Online

Malay Mail Online

Berita Harian

Harian Metro

Malaysiakini