KUALA LUMPUR: Kegiatan sindiket menjual bayi di sebuah hospital swasta di sini terbongkar selepas polis menahan enam suspek sebaik saja selesai urusan jual beli seorang bayi perempuan berharga RM21,000, semalam. Suspek terbabit termasuk pemilik hospital, isterinya dan anak perempuan mereka serta tiga kakitangan ditahan dalam Ops Pintas Sayang yang dilancarkan Unit Anti Pemerdagangan Orang Bukit Aman, kira-kira jam 4.30 petang.
Dalam serbuan di hospital itu yang diketuai Asisten Superintendan Nordin Ibrahim bersama lebih 20 anggota hasil maklumat awam, polis juga merampas sijil lahir bayi perempuan berusia seminggu itu dan wang tunai RM21,000 dipercayai yang dibayar suami isteri terbabit.
Menurut sumber, siasatan awal polis mendapati pasangan terbabit membeli bayi perempuan itu selepas berurusan dengan hospital berkenaan sejak sebulan lalu dan mereka sudah diambil keterangan bagi membantu siasatan.
“Ibu kandung bayi itu dipercayai keturunan Melayu, manakala bapanya seorang warga Pakistan,” katanya kepada Berita Harian.
Beliau berkata, hospital berkenaan yang dikatakan dimiliki seorang doktor bergelar Datuk, dipercayai menjalankan kegiatan menjual bayi sejak lebih 10 tahun lalu.
Hospital itu dipercayai memalsukan maklumat ibu bapa kandung bayi terbabit bagi membolehkan pasangan suami isteri terbabit mendapatkan sijil kelahiran bayi itu di Jabatan Pendaftaran Negara (JPN).
Seorang wanita yang juga kakitangan hospital berkenaan, turut mengiringi pasangan terbabit ke JPN di Putrajaya sejurus selepas urusan jual beli bagi membantu mendaftarkan kelahiran bayi itu dengan menamakan suami isteri terbabit sebagai ibu dan bapa kandung yang sah.
“Wanita itu kemudian ditahan polis di JPN Putrajaya selepas selesai menjalankan urusan berkenaan,” katanya.
Difahamkan, harga bayi yang dijual sindiket itu boleh mencecah lebih RM30,000 mengikut bangsa dan jantina. Harga bayi lelaki dikatakan lebih mahal yang biasanya dijual antara antara RM15,000 ke RM20,000.
Bayi berbangsa Cina pula paling mahal dan dijual mengikut berat, iaitu RM10,000 sekilogram berikutan permintaannya tinggi dan sukar diperoleh.
“Jika bayi itu beratnya tiga kilogram, maknanya harga bayi itu adalah RM30,000, berbeza dengan bangsa lain,” katanya.
Beliau berkata, kebanyakan wanita menjual bayi itu kerana tidak mampu menanggung kos bersalin dan perubatan yang mencecah sehingga RM5,000.
“Selalunya yang datang ke situ adalah wanita warga asing yang mengandung anak luar nikah selepas menjalin hubungan dengan lelaki senegara atau tempatan.
“Oleh kerana tidak mampu menanggung kos bersalin dan tidak mahukan bayi itu, mereka datang ke hospital berkenaan yang sememangnya diketahui menjalankan kegiatan menjual bayi.
“Si ibu akan bersalin di hospital itu dengan kos bersalin serta rawatan ketika pantang ditanggung hospital berkenaan, selain turut diberikan sedikit habuan selepas menyerahkan bayi mereka,” katanya.
Pemerdagangan Orang: Bayi RM21,000
Tuesday, November 2, 2010
Posted by Berita Sentral Semasa Terkini at 11:04 AM
Labels: pemerdagangan bayi tumpas, sindiket pemerdagangan orang
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
0 comments:
Post a Comment