KEJUTAN budaya dan sikap tidak bertanggungjawab dipercayai menjadi punca 112,132 mahasiswa gagal mendapat keputusan nilai purata gred kumulatif (GPA) 2.0 sehingga pinjaman pengajian mereka terpaksa dibekukan seperti didedahkan Datuk Dr Mohamad Shahrum Osman, ketika masih menjadi Pengerusi Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN).
Pada hemat saya, pencapaian purata di bawah GPA 2.0 tidak dapat diterima terutama bagi mahasiswa sepenuh masa, apatah lagi di institusi pengajian tinggi.
Berdasarkan statistik yang dikeluarkan Bahagian Penguatkuasaan dan Inspektorat, Jabatan Pengajian Tinggi, Kementerian Pengajian Tinggi, pada Januari hingga Jun lalu, 17 institusi pengajian tinggi swasta (IPTS), telah dikenakan kompaun dan antara kesalahannya kerana mengambil mahasiswa di bawah syarat minimum.
Kesalahan mengambil mahasiswa di bawah syarat minimum ini juga dilihat menjadi faktor utama yang menyumbang kepada prestasi akademik yang merosot.
Pakar Psikologi Kanak-Kanak dan Remaja, Pusat Pengajian Psikologi dan Pembangunan Manusia, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Profesor Madya Dr Khaidir Ismail, yakin kejutan budaya menjadi masalah utama kepada mahasiswa dalam pencarian identiti menyebabkan mereka mudah menerima perubahan persekitaran.
Lebih memburukkan lagi keadaan apabila terdapat segelintir mahasiswa institusi pengajian tinggi awam (IPTA) dan IPTS terpengaruh dengan budaya luar sehingga mereka hanyut dan akhirnya lupa tanggungjawab untuk belajar.
Kebanyakan mahasiswa yang berprestasi kurang memuaskan ini bukan saja tidak berkeupayaan untuk mengurus masa belajar mereka dengan baik, malah mereka� juga tidak membuat persediaan sebelum menduduki peperiksaan.
Sikap sambil lewa dan tidak bersungguh-sungguh dalam melakukan aktiviti pembelajaran menjadikan mereka leka terhadap tanggungjawab mereka sebagai seorang mahasiswa. Selain itu, budaya ‘last minute’ juga dilihat mempengaruhi prestasi akademik mereka.
Justeru, saya ingin menyarankan kepada pihak yang berwajib terutama Kementerian Pengajian Tinggi supaya mempertingkatkan pemantauan prestasi akademik di setiap IPTA dan IPTS di seluruh negara.
Sebagai seorang mahasiswa, saya amat berbesar hati untuk melihat mahasiswa di negara ini berjaya dengan gemilang dalam bidang akademik juga sahsiah diri.
Kesedaran yang mendalam dalam diri mahasiswa mengenai kepentingan peranan mereka kepada masa depan negara adalah kunci kepada permasalahan ini.
Oleh itu, kerjasama dan usaha semua pihak amat perlu dalam usaha membaiki dan meningkatkan prestasi mutu pendidikan negara.
Renungan: Punca prestasi siswa merosot
Monday, November 22, 2010
Posted by Berita Sentral Semasa Terkini at 9:43 AM
Labels: Isu Semasa, kejutan budaya para pelajar, punca prestasi siswa merosot
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
0 comments:
Post a Comment