Ajal maut ketika menjamu selera

Thursday, December 2, 2010

KUALA LUMPUR: “Saya terkilan hasrat arwah menyambung pelajaran di sekolah asrama penuh tidak kesampaian selepas dia meninggal dunia ketika makan tengah hari semalam,” kata Salwana Abd Rahman, 45.

Salwana berkata, anaknya Nurul Afiqah Azman, 12, seorang murid yang rajin dan baru-baru ini mendapat 5A dalam Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR).

Menurutnya, arwah aktif di sekolah dan menjadi murid contoh kerana dia dilantik ketua pengawas selain mudah mesra dengan rakan serta guru.

“Arwah seorang yang bertanggungjawab dan sering bermain dengan adik-adiknya jika ada kelapangan. Tambahan pula ketika ini, cuti sekolah, jadi dia banyak meluangkan masa bersama mereka,” katanya yang tinggal di rumah Projek Perumahan Rakyat (PPR) Seri Cempaka sejak setahun lalu.

Ketika ditemui, Salwana tidak dapat menahan kesedihan kerana terkejut dengan pemergian anak tersayang yang tiba-tiba rebah ketika makan selepas mengadu sesak nafas.

Katanya, dia menghubungi ambulans selepas melihat keadaannya yang semakin kritikal dan sukar bernafas.

“Ambulans tiba setengah jam kemudian dan membawa anak saya ke Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM).

“Sebelum itu, saya lihat wajah anak saya sudah kebiru-biruan dan ketika dalam perjalanan ke PPUM rawatan sementara turut diberikan,” katanya.

Salwana berkata, bagaimanapun mungkin sudah tersurat yang dia akan kehilangan anaknya selepas doktor memberitahu Nurul Afiqah tidak dapat diselamatkan.

Nurul Afiqah selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Pantai Dalam pada jam 1.30 tengah hari semalam.

0 comments:

Related Posts with Thumbnails

Isu Semasa

NST Online

The Star Online

Malay Mail Online

Berita Harian

Harian Metro

Malaysiakini