BATU PAHAT: Pengasas rangkaian produk kecantikan Nouvelles Visage, Datuk Sosilawati Lawiya, 47, bukan saja membantu menyediakan pekerjaan bagi membaiki taraf hidup ahli keluarga, malah memperuntukkan RM1 juta setahun bagi membiayai perbelanjaan anak yatim di seluruh negara.
Adik Sosilawati, Rosnani, 45, berkata perkara itu dimaklumkan kepadanya oleh Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita dan Keluarga, Kebajikan Masyarakat dan Kesihatan Johor, Dr Robia Kosai yang mengunjungi rumahnya, baru-baru ini.
Katanya, keluarga bukan mahu bermegah  atau berbangga dengan pemberian kakaknya, namun berasa terharu kerana  kakaknya tidak pernah melupakan asal usul dan menghulurkan bantuan  kepada pelbagai pihak yang memerlukan.
“Hubungan kami rapat, namun keluarga tidak pernah mengambil tahu perbelanjaan dan cara Kak Wati menggunakan wangnya.
“Namun  apabila Dr Robia memberitahu Kak Wati memperuntukkan RM1 juta untuk  anak yatim seluruh negara setiap tahun, kami rasa terharu.
“Bukan  niat mahu bermegah, tetapi terharu kerana ia membuktikan Kak Wati tidak  pernah lupa pada awal perjalanan hidup kami yang susah dengan  menghulurkan bantuan bagi membantu insan kurang bernasib baik ketika dia  menerima rezeki yang melimpah ruah,” katanya.
Menurutnya,  selain menghulurkan bantuan kepada golongan kurang bernasib baik,  kakaknya tidak lupa membantu adik-beradiknya bagi membolehkan mereka  membaiki taraf hidup.
Katanya, selain sifat tidak suka  meninggi diri, Kak Wati sentiasa mencari peluang membantu adik beradik,  terutama menyediakan peluang pekerjaan.
Ketua Kampung Sri  Menanti, Sri Medan, Omar Salleh, 63, berkata Sosilawati sebenarnya tidak  suka pemberiannya diperbesarkan kerana tidak mahu dianggap  menunjuk-nunjuk sedangkan dia ikhlas memberi bantuan.
“Sifat  pemurah Sosilawati banyak membantu penduduk dengan memberi bantuan  berterusan kepada Masjid Seri Dayong, Sri Medan; surau di Kampung Sri  Menanti dan sekolah angkatnya, Sekolah Kebangsaan Seri Dayong serta  Sekolah Agama Seri Dayong.
“Ketiadaannya bukan saja  menyedihkan keluarga dan penduduk, malah murid sekolah yang banyak  merasai pemberiannya sebelum ini,” katanya.
Sementara itu, penduduk kampung berharap pihak berkuasa dapat menjalankan siasatan dengan teliti bagi menjawab kehilangan Sosilawati.
Seorang  penduduk kampung yang hanya mahu dikenali sebagai Ahmad berkata,  penduduk menghormati keluarga itu yang melalui pelbagai dugaan sepanjang  tahun ini, terutama kehilangan Sosilawati.
“Jika benar suspek melakukan pembunuhan kejam itu, kami berharap hukuman keras dijatuhkan terhadap mereka.
“Kehilangan  Sosilawati bukan saja ditangisi keluarga, malah penduduk kampung terasa  kehilangan beliau yang banyak menabur jasa di kampung ini.
“Wang boleh dicari tetapi nyawa tidak boleh diganti, berikutan itu penduduk berharap jika benar Sosilawati dibunuh, biar pelakunya mendapat balasan setimpal,” katanya.
Katanya, hampir setiap hari dia  melawat keluarga Sosilawati untuk memberi sokongan dan berharap keluarga  berkenaan tetap tabah mengharungi ujian ini.
Seorang lagi  penduduk, Tukinah Samsuri, 40, berkata kali terakhir dia menemui  Sosilawati ketika kenduri tahlil arwah sebelum Ramadan lalu.
“Sejak  berita pembunuhannya disiarkan akhbar, perasaan bimbang penduduk  bertukar sedih dan berharap penjenayah berkenaan akan dikenakan tindakan  tegas,” katanya.
Adik ipar Sosilawati, Misjan Jamikun, 48, berkata keluarganya membuat persiapan bagi mengkebumikan jenazah berbentuk tulang atau cebisan daging jutawan itu di Tanah Perkuburan Islam Kampung Sri Menanti.





0 comments:
Post a Comment