GOMBAK: Angkara si anak yang gemar memandu kereta dengan laju, seorang wanita terpaksa melangsaikan 30 saman trafik berjumlah lebih RM 4,000 bagi mengelakkan namanya disenarai hitam atau diheret ke mahkamah.
Wanita itu yang hanya mahu dikenali sebagai Nor, 58, berkata, dia sudah kerap merayu anaknya supaya menjelaskan semua saman tertunggak itu secara ansuran namun tidak diendahkan.
“Puas saya memujuknya namun anak lelaki saya yang berusia 27 tahun tetap degil dengan alasan tak ada duit. Saya tiada pilihan dan terpaksa membayar semua saman itu kerana ia dihantar atas nama saya berikutan kereta yang digunakan anak saya adalah milik saya,” katanya yang ditemui di perkarangan Pejabat Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Gombak, baru-baru ini. Nor berkata, dia tiba di IPD Gombak sekitar jam 9.30 pagi semalam dan terkejut apabila mendapati nama saya dikaitkan dengan 30 saman trafik yang rata-ratanya adalah saman ekor akibat memandu dalam keadaan melebihi had laju.
“Selepas ditolak dengan tawaran diskaun, saya perlu membayar RM4,000 bagi membersihkan nama saya daripada sebarang saman. Kesesakan di kaunter menyebabkan saya terpaksa menunggu lebih tujuh jam sebelum berjaya membayar semua saman tertunggak itu.
“Orang yang berasak mahu membayar saman terlalu ramai. Nombor giliran diberikan kepada saya adalah 2268 sedangkan nombor yang terpapar di skrin pada jam 9.30 pagi adalah 2048. Ini bererti saya perlu menunggu 220 orang sebelum tiba giliran saya,” katanya.
Sementara itu, tinjauan Harian Metro mendapati kebanyakan kaunter semakan dan pembayaran saman trafik di IPD Shah Alam, Gombak, Ampang dan Jalan bandar dipenuhi orang ramai yang berpusu-pusu mahu menjelaskan saman trafik seawal jam 7 pagi lagi.
Kesesakan luar biasa terbabit turut berlaku di kaunter trafik Bukit Aman apabila kebanyakan pemilik kenderaan sanggup menunggu berjam-jam bagi menjelaskan saman tertunggak pada kadar yang dianggap lebih menguntungkan.
Melalui tawaran ditetapkan, semua saman trafik sebelum 1 Disember 2010 diberikan insentif kadar munasabah membabitkan potongan diskaun 50 peratus.
Angkara anak memandu laju
Friday, December 17, 2010
Posted by Berita Sentral Semasa Terkini at 3:40 PM 0 comments
Labels: anak degil, Anak Derhaka, angkara anak gemar memandu laju, Islam dan Anda, Keluarga dan Islam, Keruntuhan Akhlak, seorang ibu terpaksa menanggung saman anak
Ibu simpan ‘anak ikan’
PUTRAJAYA: Seorang ibu tunggal dicekup bersama lelaki muda atau ‘anak ikan’ belaannya di sebuah rumah di Presint 9, di sini awal pagi kelmarin selepas diserbu penguat kuasa agama yang bertindak atas aduan anak wanita itu sendiri.
Serbuan dilakukan pada jam 2.50 pagi oleh sekumpulan penguat kuasa Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi) Putrajaya hasil maklumat anak wanita itu mengenai ibunya berusia 40-an yang sering membawa balik teman lelakinya berusia 20-an dan tidur bersama sejak beberapa bulan lalu.
Sumber berkata, pasangan berkenaan sebelum ini bijak menyembunyikan perbuatan terkutuk mereka kerana rumah itu turut dihuni anak perempuan terbabit yang berusia 20 tahun serta dua anak lelaki belasan tahun.
Menurutnya, mungkin meluat dan tidak mahu bersubahat dengan sikap ibunya yang bergelumang dosa, anak perempuan itu sendiri yang membuat laporan supaya ibunya ditahan.
“Ketika serbuan wanita itu membuka pintu rumah dan membenarkan penguat kuasa masuk seolah-olah tidak melakukan sebarang kesalahan. “Dia cuba menipu penguat kuasa dengan memberitahu mendakwa teman lelakinya yang ketika itu sudah berpakaian lengkap adalah saudara terdekat yang menumpang buat sementara sebelum memperoleh pekerjaan tetap,” katanya.
Bagaimanapun, penguat kuasa Jawi yang curiga dengan penjelasan wanita terbabit menyoal anak perempuannya dan ketika itulah rahsia jijiknya terbongkar. “Anak perempuan wanita itu memberitahu sebelum serbuan dilakukan lelaki terbabit tidur di bilik ibunya dan mereka sudah melakukan perbuatan itu sejak beberapa bulan lalu. “Kata gadis itu, dia sudah berbuih mulut menasihati ibunya supaya menghentikan perbuatan terkutuk itu, tetapi tidak dipedulikan, menyebabkan dia nekad membuat laporan kepada kami,” katanya.
Sumber itu berkata, mendengarkan kata-kata anak gadisnya wanita terbabit cuba berdalih dan mendapat simpati dengan memberitahu dia bakal mengahwini teman lelakinya dan lelaki itu juga memberi kenyataan serupa dengan pengakuan mereka merancang berkahwin dalam masa terdekat.
Bagaimanapun, alasan itu gagal mengelakkan mereka ditahan dan ketika disoal siasat wanita terbabit memberitahu dia menjalinkan hubungan intim dengan teman lelakinya selepas berkenalan melalui laman sembang di Internet.
“Wanita itu juga memberitahu sudah bercerai dengan suami, tetapi gagal menunjukkan dokumen perceraian apabila diminta penguat kuasa,” kata sumber itu.
Menurutnya, pasangan terbabit kemudian dibawa ke pejabat Jawi Putrajaya untuk diambil keterangan lanjur sebelum dibebaskan dengan jaminan.
Mereka disiasat mengikut Seksyen 27 (a)(b), Akta Kesalahan Jenayah Syariah 1997 yang membawa hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda RM3,000, jika didapati bersalah.
Penolong Pengarah Bahagian Penguatkuasa Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan, Rohaizan Ismail, ketika dihubungi mengesahkan penahanan pasangan terbabit dan memberitahu mereka akan didakwa di mahkamah syariah dalam tempoh terdekat.
Posted by Berita Sentral Semasa Terkini at 1:13 PM 0 comments
Labels: ibu simpan anak ikan, ibu tunggal dicekup bersama lelaki muda, Keluarga dan Islam, Keruntuhan Akhlak
Peragut ancam Wangsa Maju
Thursday, December 16, 2010
KUALA LUMPUR: Penduduk di Seksyen 2, Wangsa Maju, di sini, bimbang berikutan banyak kejadian ragut berlaku di kawasan berkenaan sejak kebelakangan ini sehingga mendatangkan kecederaan selain kehilangan barang berharga.
Ini berikutan terdapat tiga kes ragut dilaporkan tidak sampai dua bulan
di laluan Sekolah Kebangsaan Wangsa Maju Seksyen 2 selain empat kes sama di Jalan 27/37B.
Pengerusi MCA Wangsa Maju, Datuk Yew Teong Look, berkata pihaknya menerima aduan penduduk yang trauma selepas mengetahui banyak jenayah ragut berlaku di kedua-dua kawasan berkenaan.
“Justeru, kami meminta polis kerap melakukan rondaan di kawasan berkenaan bagi mengekang jenayah,” katanya pada sidang media di Seksyen 2, Wangsa Maju, semalam.
Posted by Berita Sentral Semasa Terkini at 9:37 PM 0 comments
Labels: Isu Semasa, jenayah ragut, Keruntuhan Akhlak, peragut ancam wangsa maju
Kelab Gadis Songsang
Saturday, December 4, 2010
KUALA LUMPUR: Tidak sekadar mengadakan pelbagai parti liar di kelab malam mahupun rumah, golongan lesbian kini semakin aktif mencari dan menambah kenalan baru menerusi laman sosial popular, Facebook.
Ini berikutan laman maya itu memudahkan golongan bernafsu songsang berkenaan mencari kenalan dan bertukar-tukar pasangan dalam tempoh singkat.
Hakikat ini diakui oleh Ling, 23, dan Shira, 25, yang turut menyertai pelbagai ‘kelab’ lesbian di alam siber itu.
Menurut Ling, dia menyertai kelab berkenaan atas ajakan rakannya bagi membolehkan mereka menerima layanan mesra dan manja daripada komuniti laman itu.
“Hanya wanita memahami perasaan wanita lain. Sebab itu saya menyertai kelab seperti ini kerana beberapa kali kecewa dipermainkan lelaki. Kebanyakan lelaki hanya mahu mengambil kesempatan.
“Bila bercinta dan menjalin hubungan dengan golongan sejenis, saya rasa dihargai. Malah, golongan lesbian lebih baik daripada lelaki dan lebih memahami jiwa dan kemahuan sesama sendiri.
“Ada juga beberapa rakan saya sering bertukar-tukar pasangan selepas mengenali wanita lain di Facebook. Namun, ia tidak seperti bertukar-tukar pasangan dengan lelaki. Mereka tidak dipermainkan dengan sesuka hati seperti berkawan dengan lelaki yang hanya mahukan seks semata-mata.
“Paling tidak, golongan lesbian hanya melakukan seks ‘ringan’ sesama sendiri. Malah, masing-masing tahu cara untuk kepuasan sendiri dan bagaimana mahu memenuhinya,” katanya yang ditemui Metro Ahad.
Ling berkata, dia kini memiliki ratusan kenalan lesbian yang diperoleh daripada Facebook dan berasakan tidak rugi berkenalan dengan mereka, malah ramai sudi menghulurkan tangan untuk membantu jika dia dalam kesusahan.
“Bagi saya, tidak perlu menjalin hubungan hingga ke bilik tidur. Cukup sekadar berkawan dan berkongsi perasaan kasih. Lagipun, golongan ini bersifat terbuka dan lebih baik daripada lelaki. Mereka tidak berkira jika saya memerlukan pertolongan.
“Ia juga sama seperti kelab lain yang ditubuhkan pelbagai individu. Selain menambah kenalan, Ia bertujuan mengeratkan hubungan sesama kami menerusi pelbagai aktiviti yang diadakan. Bezanya, ia hanya dihadiri golongan wanita,” katanya.
Bagi Shira pula, kelab lesbian seperti yang diwujudk di Facebook bukan bertujuan mengadakan aktiviti negatif saja.
Sebagai contoh, kebanyakan wanita lesbian tidak bercampur dengan golongan lain, justeru kelab itu memastikan mereka tidak tersisih.
“Kadangkala, orang ramai yang tahu kami lesbian akan memandang dengan pelbagai tanggapan negatif. Sedikit sebanyak, ia membuatkan kami tersisih.
“Jadi, kewujudan kelab seperti ini mampu membuatkan kami berasa dihargai dan mendapat perhatian individu lain. Walaupun kami tidak ambil pusing pandangan orang, dalam diam ia masih memberi impak terhadap diri sendiri,” katanya.
Menurutnya, saluran Facebook banyak membantunya mencari kenalan yang ‘sealiran’ dan membuatkannya lebih mudah menambah rakan yang sama minat sepertinya.
Katanya, meskipun ada cara mudah untuk menambah kenalan yang mempunyai minat kepada golongan sejenis seperti itu, terserah kepada seseorang individu itu untuk menentukan sejauh mana hubungan mereka iaitu hingga melakukan hubungan seks atau sekadar berkongsi minat.
“Saya akui ada yang terlanjur selepas terpengaruh mengenai ‘kelab’ yang ada, malah saya juga hampir terjebak untuk menjalin hubungan istimewa dengan rakan lesbian. Bagaimanapun, saya bernasib baik kerana sempat menyedari kesan negatifnya.
“Namun, hingga kini minat dan keghairahan saya kepada golongan sejenis tidak pernah padam walaupun ada lelaki cuba mendekati saya.
“Akhirnya, saya terpaksa menolak kerana kini saya tidak mempunyai sebarang perasaan kepada golongan itu,” katanya.
Posted by Berita Sentral Semasa Terkini at 10:27 AM 0 comments
Labels: Islam dan Anda, kelab gadis songsang, Keruntuhan Akhlak, laman sosial facebook, lesbian, Wanita dan Kehidupan
Wartawan wanita lawan perompak
Friday, December 3, 2010
GOMBAK: Seorang wartawan wanita sebuah akhbar harian mengalami detik cemas lebih 15 minit apabila terpaksa bertarung dengan dua penjenayah ‘geng langgar dan rompak.
Kumpulan penjenayah terbabit sengaja melanggar belakang kereta wanita itu bagi memperdaya mangsa memberhentikan kereta sebelum merompak wartawan berkenaan yang keluar dari kenderaan bagi melihat kerosakan.
Mangsa yang hanya mahu dikenali sebagai Lau, 27, berkata, ketika kejadian dia memandu bersendirian dari Batang Kali ke Jalan Sungai Dua, Ulu Yam, di sini, kira-kira jam 4 petang kelmarin.
Menurutnya, dia bercuti panjang dan ingin pulang ke rumahnya dengan memandu kereta Honda City yang baru dibelinya pada Mei lalu.
“Namun, sebaik sampai ke satu kawasan cerun, saya terlihat sebuah kereta Toyota Vios berwarna perak mengekori saya dengan laju. Bimbang berlaku pelanggaran menyebabkan saya memberikan lampu isyarat kecemasan bagi memberi laluan kenderaan terbabit memotong.
“Bagaimanapun, saya terkejut apabila bahagian belakang kereta saya dirempuh kereta terbabit menyebabkan saya terkejut dan membunyikan hon,” katanya.
Menurutnya, dia memberhentikan keretanya di bahu jalan tidak jauh dari kereta Toyota Vios terbabit yang dinaiki dua lelaki itu.
“Saya melihat kerosakan di bahagian bumper sebelum menuntut dua lelaki berusia 20-an dan 40-an terbabit bertanggungjawab dan membayar ganti rugi terhadap kesan kemek itu.
“Pada mulanya saya langsung tidak mengesyaki ia bermotifkan rompakan kerana menyangka ia kemalangan biasa. Berikutan itu, saya mengambil gambar nombor plet pendaftaran kenderaan Toyota terbabit untuk tujuan laporan polis selepas suspek seolah-olah tidak mahu memenuhi tuntutannya,” katanya.
Menurutnya, tanpa disedari seorang daripada lelaki terbabit menghampirinya dari belakang sebelum menutup mulutnya menggunakan tapak tangan.
“Saya cuba meronta bagi melepaskan diri sebelum bergelut dengan penjenayah terbabit. Dalam keadaan cemas itu, kaki dan muka saya luka selain dipukul penjenayah.
“Penjenayah terbabit mengikat tangan saya sebelum seorang daripada suspek berusia 20-an merampas kunci kereta saya selain mengambil beg komputer riba,” katanya. Menurutnya, penjenayah terbabit melarikan diri dengan membawa keretanya dan dia ditinggalkan di tepi jalan.
Difahamkan kawasan berlaku kejadian terbabit agak sunyi menyebabkan tiada saksi atau orang awam membantu mangsa ketika kejadian.
“Saya pergi ke balai polis berhampiran membuat laporan rompakan berkenaan. Agak mengejutkan apabila polis mendakwa nombor plet kenderaan penjenayah palsu,” katanya.
Posted by Berita Sentral Semasa Terkini at 11:39 AM 0 comments
Labels: Isu Semasa, Keruntuhan Akhlak, taktik sengaja melanggar belakang kereta, taktik terbaru merompak, wartawan wanita lawan perompak
Spa hotel jual tubuh diserbu
Monday, November 29, 2010
KUALA LUMPUR: Kegiatan pelacuran membabitkan wanita warga asing di sebuah hotel di Sunway Mentari, Bandar Sunway, di sini, yang berselindung di sebalik perkhidmatan spa terbongkar selepas ia diserbu polis, malam kelmarin.
Serbuan jam 11 malam dilakukan anggota dari Jabatan Siasatan Jenayah Maksiat, Kongsi Gelap dan Perjudian (D7) Bukit Aman itu menahan enam wanita warga China dan seorang warga Thailand serta tiga lelaki tempatan yang juga penjaga premis berkenaan.
Difahamkan, urusan mendapatkan khidmat seks dilakukan di kaunter hotel dan pelanggan kemudian dibawa ke tingkat tiga untuk memilih wanita sebelum dibawa ke bilik.
Operasi dengan kekuatan empat pegawai dan lapan anggota diketuai Asisten Superintendan Khairi Anuar Rusli itu turut menemui kondom dan pil Viagra.
Menurut Khairi, hasil pemeriksaan mendapati semua tujuh wanita berusia antara 20 hingga 30-an memiliki pasport, namun dikesan menyalahgunakan pas lawatan sosial.
“Spa ini dipercayai sudah setahun menjalankan kegiatan tidak bermoral ini dengan menawarkan pakej perkhidmatan seks serendah RM189. “Ketika serbuan, hanya seorang pelanggan sedang mendapatkan perkhidmatan seks di sebuah bilik di tingkat dua hotel. Pelacur pula sedang menunggu pelanggan di tingkat tiga yang juga dijadikan tempat penginapan mereka,” katanya ketika ditemui selepas serbuan itu.
Katanya, pihaknya akan memanggil pemilik premis untuk tindakan siasatan lanjut.
Posted by Berita Sentral Semasa Terkini at 2:54 PM 0 comments
Labels: Islam dan Anda, Isu Semasa, Keruntuhan Akhlak, spa hotel jual tubuh diserbu
Gambar bogel Dewi di Internet
Thursday, November 25, 2010
JAKARTA: Dewi Persik tidak kisah dengan penyebaran gambarnya dalam keadaan separuh bogel di Internet baru-baru ini.
Penyanyi lagu ‘Diam-diam’ itu sebaliknya berkata, dia memang suka bergambar dalam keadaan berahi seperti itu di mana dadanya hanya ditutup rambut.
“Memang saya suka bergambar seperti itu.. Ya, saja-saja,” kata penyanyi dangdut yang digelar goyang gergaji itu ketika dihubungi wartawan menerusi telefon, semalam.
Walaupun suka, Dewi tidak berminat untuk menonjolkan gambar itu kepada orang ramai dan memhon maaf kepada pihak yang tersinggung dengan gambar separuh bogelnya di Internet.
“Sebenarnya, gambar itu ialah koleksi peribadi saya.
“Saya memohon maaf sekiranya benar ia sudah tersebar di Internet,” kata penghibur yang berasal dari Jember, Jawa Timur itu.
Dewi tidak mahu memeningkan kepalanya dengan foto itu yang kini boleh dilihat oleh sesiapa saja. Tetapi pada masa sama, dia ingin mencari orang yang bertanggungjawab menyebarkannya. - Agensi
Posted by Berita Sentral Semasa Terkini at 4:03 PM 0 comments
Labels: gambar bogel dewi persik di internet, Islam dan Anda, Keruntuhan Akhlak, kisah artis indonesia
Beli motor curi RM300
Monday, November 22, 2010
KUALA LUMPUR: Penahanan seorang remaja lelaki yang mencurigakan membongkar kegiatan curi dan jual motosikal yang bergiat aktif di Perak.
Remaja berusia 18 tahun itu ditahan dalam satu sekatan jalan raya di Dataran Merdeka dilakukan anggota dan pegawai dari Unit Kuat Kuasa Khas (U3K) Trafik Kuala Lumpur, di sini kira-kira jam 2 pagi semalam.
Sebaik diperiksa, remaja terbabit mendakwa motosikal Honda EX5 ditungganginya adalah miliknya.
Bagaimanapun, hasil pemeriksaan lanjut menemui kunci motosikal lain pada remaja itu menyebabkan dia mula panik dan memaklumkan motosikal ditungganginya itu sebenarnya dipinjam daripada rakan sejak empat bulan lalu.
Ketua U3K, Asisten Superintendan Azmi Wahid berkata, remaja terbabit kemudian disoal berhubung status motosikal berkenaan namun memberikan jawapan sama.
Katanya, pemeriksaan terhadap nombor pendaftaran motosikal itu mendapati ia nombor pendaftaran kereta Proton Gen-2.
Harian Metro difahamkan motosikal itu dibeli remaja berkenaan dengan harga RM300 daripada individu percayai anggota sindiket pengedaran motosikal curi.
Malah, remaja itu mengakui motosikal ditungganginya itu motosikal curi.
“Berdasarkan keterangan awal diberikan remaja terbabit, dia membeli motosikal ini kira-kira empat bulan lalu pada harga RM300 dan individu yang menjual motosikal berkenaan kepadanya turut memaklumkan motosikal itu dicuri di stadium di Perak ketika orang ramai sedang sibuk menyaksikan perlawanan bola sepak,” katanya. Berikutan itu, remaja yang bekerja sebagai mekanik di Kota Damansara itu ditahan sebelum dibawa ke Ibu Pejabat Polis Trafik Kuala Lumpur bagi siasatan lanjut.
Difahamkan, motosikal ditunggangi remaja terbabit dilaporkan hilang di Sungai Senam, Perak.
Sementara itu lebih 100 saman dikeluarkan atas pelbagai kesalahan.
Dalam operasi sama, dua samseng jalanan turut dicekup membabitkan pengawal keselamatan berusia 21 tahun dan pelajar tingkatan empat sebuah sekolah di Gemas, Negeri Sembilan kerana menunggang secara melulu dan berbahaya.
Posted by Berita Sentral Semasa Terkini at 9:07 PM 0 comments
Labels: Isu Semasa, Keruntuhan Akhlak, motosikal curi
Pengajar sekolah memandu diarah bela diri kes cabul
Friday, November 19, 2010
ALOR GAJAH: Seorang pengajar sekolah memandu diperintah membela diri atas pertuduhan mencabul kehormatan seorang wanita pada Februari tahun lalu.
Majistret Mohd Hadi Hakimi Harun memerintahkan tertuduh, Mohd Yusoff Nasir, 54, dari Tanjung Bidara, dekat sini, membela dirinya atas pertuduhan itu selepas mendapati pihak pendakwaan berjaya membuktikan prima facie terhadap kes itu.
Beliau membuat keputusan itu di akhir kes pembelaan semalam selepas meneliti keseluruhan keterangan empat saksi iaitu mangsa (pengadu), pegawai di tempat kerjanya dan jurufoto polis selain menimbangkan hujahan kedua-dua belah pihak pendakwaan dan pembelaan.
Mohd Hadi berkata, tiada sebab mahkamah tidak mempercayai keterangan mangsa mengenai kejadian cabul itu.
Mahkamah memerintahkan tertuduh yang diwakili peguam, Nahdan Rengganathan Abdullah, membela dirinya pada 21 Disember depan.
Posted by Berita Sentral Semasa Terkini at 10:47 AM 0 comments
Labels: Islam dan Anda, Keruntuhan Akhlak, peringatan pada kaum hawa
Suami mati ditikam 6 lelaki, isteri ditahan
Saturday, November 13, 2010
KUALA LUMPUR: Seorang lelaki warga Indonesia mati selepas ditikam oleh enam lelaki dalam satu pergaduhan di rumahnya di Taman Medan, Petaling Jaya dekat sini, jam 11 malam tadi.
Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Arjunaidi Mohamed, berkata polis menahan isteri lelaki yang berumur 24 tahun itu yang dipercayai turut terbabit dengan kejadian bagi membantu siasatan, manakala enam lagi suspek melarikan diri.
Beliau berkata lelaki yang belum dikenal pasti identitinya itu maut selepas ditikam oleh enam suspek yang merupakan rakannya, yang juga warga Indonesia. Katanya polis percaya kejadian berpunca daripada pertengkaran apabila lelaki itu dikatakan mempunyai hubungan sulit dengan isteri kepada salah seorang daripada enam lelaki berkenaan.
"Dia ditikam di rumahnya di tingkat lima, kemudian dia melarikan diri ke tingkat dua dan mati di situ," katanya kepada Bernama ketika dihubungi di sini hari ini.
Katanya lelaki itu mati akibat ditikam berkali-kali dengan senjata tajam seperti pisau dan parang, dan mayatnya dibawa ke Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) untuk dibedah siasat.
Arjunaidi berkata polis sedang berusaha memburu enam suspek yang dipercayai masih berada di sekitar Lembah Klang. - BERNAMA
Posted by Berita Sentral Semasa Terkini at 6:27 PM 0 comments
Labels: Keruntuhan Akhlak, suami mati ditikam berpunca hubungan sulit dengan wanita lain
Wanita bekal bayi direman
Friday, November 12, 2010
Suspek miliki banglo, beberapa kereta mewah
KUALA LUMPUR: Seorang wanita berusia 40-an yang hidup mewah hasil membekalkan bayi kepada sebuah hospital swasta di Jalan Ipoh, di sini, dipercayai sindiket penjualan bayi, ditahan polis Selasa lalu.
Wanita yang ditahan sepasukan polis dari Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kelantan dengan kerjasama Unit Anti Pemerdagangan Orang (ATIP) Bukit Aman, di rumahnya di Kota Bharu, Kelantan ditahan reman selama seminggu mulai Rabu lalu.
Sumber berkata, wanita itu dibawa ke IPK Kuala Lumpur memandangkan kes terbabit di bawah siasatan mereka dan perintah reman diperoleh di Pusat Tahanan Sementara, Bukit Jalil di sini.
Difahamkan wanita itu mendiami sebuah banglo dan memiliki beberapa kereta mewah dipercayai hasil membekalkan bayi kepada hospital itu sejak beberapa tahun lalu.
Sumber polis berkata, suspek dipercayai mencari wanita mengandung sekitar Pantai Timur dan membeli bayi terbabit sebelum diserahkan kepada hospital itu.
Kita percaya suspek membekalkan bayi kepada hospital berkenaan berdasarkan penemuan beberapa dokumen kelahiran palsu bersama suspek.
Suspek dipercayai dibayar untuk membeli bayi terbabit sebelum menyerahkan mereka kepada hospital itu untuk dijual, katanya.
Sementara itu, Ketua Polis Kelantan, Datuk Abd Rahim Hanafi ketika dihubungi Berita Harian semalam mengesahkan penahan wanita terbabit namun enggan mengulas lanjut kerana kes itu di bawah siasatan Bukit Aman dan IPK KL.
Berita Harian sebelum ini melaporkan, seorang doktor bergelar Datuk ditahan bersama isteri serta anak perempuannya dan tiga kakitangan sebuah hospital swasta di Jalan Ipoh pada 1 November lalu kerana terbabit dalam sindiket penjualan bayi.
Mereka ditahan jam 4.15 petang, selepas urusan jual beli seorang bayi perempuan bernilai RM21,000.
Keenam-enam suspek itu ditahan reman selama lapan hari untuk siasatan dan dibebaskan dengan jaminan polis, Selasa lalu.
Selain keenam-enam suspek terbabit, tiga lagi suspek termasuk seorang wanita turut ditahan Selasa lalu bagi membantu siasatan.
Kelmarin, BERNAMA melaporkan, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Seri Mohd Bakri Zinin, tidak menolak kemungkinan sindiket penjualan bayi oleh hospital swasta di Jalan Ipoh itu ada kaitan dengan sindiket penjualan bayi di Sarawak, Julai lalu.
Katanya, siasatan awal mendapati dokumen kelahiran bayi di hospital swasta itu dikeluarkan sindiket jual bayi yang pernah dibongkar di Sarawak.
Mohd Bakri berkata, sehingga kini polis menemui dan mengenal pasti 15 dokumen kelahiran bayi yang meragukan ditemui di hospital swasta di Jalan Ipoh yang dipercayai bagi urusan penjualan.
Posted by Berita Sentral Semasa Terkini at 10:22 PM 0 comments
Labels: Isu Semasa, Keruntuhan Akhlak, sindiket pemerdagangan orang, sindiket penjualan bayi, wanita bekal bayi direman
Pergaduhan hanya kerana RM20
KUALA LUMPUR: Sekumpulan lapan lelaki membelasah tiga lelaki yang menuntut hutang RM20 daripada mangsa dalam kejadian di Klang Gate, di sini, kelmarin.
Berikutan itu, tiga mangsa berkenaan cedera di muka serta beberapa anggota badan dan seorang daripada mereka menerima enam jahitan di kepala kerana dipukul dengan pengunci stereng dan batu.
Menurut sumber polis, kejadian berlaku kira-kira jam 3 pagi ketika seorang daripada mangsa yang berusia 19 tahun menghubungi rakannya sebelum berjanji untuk bertemu.
“Mangsa pada mulanya ditemani seorang rakan pergi ke lokasi itu dengan kereta sebelum bertemu rakan yang berhutang itu bersama tujuh lelaki lain.
“Sejurus bertemu, mangsa meminta wangnya, namun berlaku pertengkaran kerana rakannya itu enggan membayar sebaliknya memaksa mangsa keluar dari kereta,” katanya.
Posted by Berita Sentral Semasa Terkini at 7:25 AM 0 comments
Labels: Keruntuhan Akhlak, pelik tapi benar, pergaduhan hanya kerana rm20
2 gadis setan
SERDANG: Dua gadis yang berusia awal 20-an dikesan menjadi dalang kes pecah rumah siang hari dengan menjadikan beberapa rumah flat kos rendah di kawasan yang disewa mereka di daerah ini sebagai sasaran utama.
Malah, kedua-dua gadis terbabit yang juga penagih dadah tegar bekerjasama dengan teman lelaki masing-masing untuk menjalankan jenayah itu bagi menampung kos membeli dadah.
Sumber polis berkata, kumpulan empat geng pecah rumah itu diberkas selepas memecah masuk sebuah rumah di flat PKNS, di sini, kira-kira jam 12 tengah hari, semalam.
“Sebaik masuk dengan mengumpul pintu, mereka menyelongkar rumah berkenaan sebelum melarikan barang berharga antaranya telefon bimbit dan wang tunai. Malah, suspek turut melarikan perkakas rumah termasuk tong gas.
“Semua barangan berkenaan disimpan di rumah sewa mereka yang terletak berhampiran,” katanya.
Menurutnya, kejadian itu hanya disedari pemilik rumah berkenaan selepas pulang dari bekerja kira-kira jam 1 tengah hari.
“Mangsa yang juga seorang warga Nepal berusia 26 tahun dan bekerja di kilang berhampiran rumahnya terkejut apabila mendapati kediamannya dipecah masuk sebelum melaporkan kejadian berkenaan di balai polis berhampiran.
“Berdasarkan laporan awal, mangsa mendakwa kerugian lebih RM800,” katanya.
Susulan itu, anggota polis menjalankan siasatan sebelum terserempak gadis terbabit dan pasangannya dalam keadaan mencurigakan. Berikutan itu, polis menahan semua mereka sebelum siasatan dilakukan di rumah disewa mereka.
“Hasilnya polis menemui semua barang berharga milik mangsa dan beberapa barangan lain serta perkakas yang digunakan bagi tujuan pecah rumah. Suspek yang disoal siasat mengaku semua barang dalam rumah itu hasil rompakan.
“Siasatan lanjut mendapati semua suspek berusia antara 18 hingga 28 tahun. Kedua-dua lelaki pasangan gadis terbabit berasal dari Sabah, manakala gadis itu warga tempatan.
“Semua suspek yang positif dadah ketika ujian air kencing direman dan disiasat mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan kerana melakukan jenayah samun,” katanya.
Posted by Berita Sentral Semasa Terkini at 7:25 AM 0 comments
Labels: 2 gadis setan, gadis dalang kes pecah rumah flat kos rendah, jenayah di malaysia, Keruntuhan Akhlak
Suspek sindiket jual bayi bebas dengan jaminan polis
Monday, November 8, 2010
KUALA LUMPUR: Enam individu yang ditahan remah sejak 2 November lalu bagi membantu siasatan kes membabitkan sindiket penjualan bayi oleh sebuah hospital swasta di Jalan Ipoh di sini, dibebaskan dengan jaminan polis hari ini.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur, Datuk Ku Chin Wah, berkata semua mereka dibebaskan petang ini selepas tempoh tahanan reman mereka tamat hari ini. "Kita telah ambil keterangan daripada kesemua suspek dan mereka telah dibebaskan petang ini. "Siasatan akan tetap diteruskan walaupun mereka telah dibebaskan bagi melengkapkan kertas siasatan dan polis akan terus mengesan saki-baki anggota kumpulan sindiket itu," katanya ketika dihubungi Bernama di sini hari ini.
Minggu lalu, Unit Anti Pemerdagangan Orang Bukit Aman menyerbu sebuah swasta di Jalan Ipoh di sini dan menahan enam individu termasuk pemilik hospital bergelar Datuk, isteri dan anaknya serta tiga kakitangan hospital. - BERNAMA
Posted by Berita Sentral Semasa Terkini at 10:35 AM 0 comments
Labels: Isu Semasa, Keruntuhan Akhlak, pemerdagangan bayi tumpas, sindiket pemerdagangan orang, sindiket penjualan bayi, sindiket penjualan bayi oleh hospital swasta
Pelajar 16 tahun didakwa culik, cabul, kanak-kanak lapan tahun
KLANG: Seorang pelajar lelaki berumur 16 tahun dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini hari ini atas dua pertuduhan menculik dan mencabul seorang kanak-kanak perempuan berusia lapan tahun, pada bulan lalu.
Bagaimanapun, Majistret Afifah Mamat@Yusof memerintahkan kes itu didengar oleh Mahkamah Juvana pada 11 November ini kerana ia membabitkan remaja bawah umur.
Afifah membuat keputusan itu selepas membenarkan permohonan Timbalan Pendakwa Raya Shahrul Ekhsan Hasim.
Pelajar tingkatan empat itu didakwa menculik mangsa di depan sebuah sekolah di Pandamaran di sini, kira-kira 6.40 petang pada 25 Oktober lalu, mengikut Seksyen 364 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman mati, atau penjara maksimum 30 tahun, dan boleh juga dikenakan sebatan, jika sabit kesalahan.
Dia juga didakwa mencabul mangsa di sebuah ladang kelapa sawit di Teluk Gadong, Pandamaran antara 6.40 petang hingga 7.10 malam, hari yang sama, mengikut Seksyen 354 kanun sama yang membawa hukuman maksimum penjara 10 tahun, denda atau sebatan, jika sabit kesalahan.
Pelajar lelaki itu yang ditangkap sehari selepas kejadian, mengangguk faham selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan, bagaimanapun, tiada pengakuan direkodkan.-Bernama
Posted by Berita Sentral Semasa Terkini at 8:08 AM 0 comments
Labels: Isu Semasa, Keruntuhan Akhlak, pelajar 16 tahun didakwa culik dan cabul kanak-kanak 8 tahun, pelajar perempuan dirogol, pelajar terlampau
Kekasih janda keliling pinggang
Thursday, November 4, 2010
SAYA berkenalan dengan seorang ibu tunggal dua anak dan perkenalan kami membabitkan cinta dan sayang. Pada awal perkenalan, S menyatakan dia bercerai dengan suaminya kerana tiada jodoh. Saya menerima dengan hati terbuka tapi ingin tahu apa sebenarnya terjadi antara dia dan suaminya.
S menceritakan dia terlanjur dengan majikannya di pejabat dan dalam kenderaan. Saya terkejut dan terpaksa akur dengan ceritanya kerana dendam pada suaminya yang ada wanita lain.
Saya terus berkawan dengan niat menjadikan S sebagai isteri dan minta dia bertaubat dengan apa dilakukannya. Saya bimbingnya untuk bersolat kerana S menyatakan keluarganya kurang didikan agama.
Persahabatan kami berlanjutan hinggalah satu masa dia dipanggil ke mahkamah atas kes perceraian dengan suaminya. Saya bertanya mengenai hal itu tapi dia cuba berselindung. Saya masih boleh terima lagi dan dia berjanji akan jaga dan ikut segala perintah Allah dan bertaubat.
S berhenti kerana majikannya selalu mendesaknya melakukan hal terkutuk itu lagi. S kemudian bekerja di tempat lain sebelum berkenalan dengan lelaki bernama X. Saya tidak marah dan menasihatinya supaya menjaga batasan berkawan. Dia bersumpah dengan nama anaknya yang dia sayangkan saya dan tidak akan ulangi perbuatan terkutuk itu.
Namun kawan saya nampak S selalu rapat dan keluar dengan X serta pergi ke dalam semak. Bila saya bertanya, dia bersumpah dengan nama Allah dia tidak lakukan hal sedemikian. Saya percaya dan teruskan hubungan kami. Pada satu ketika, kawan saya nampak S dengan seorang lagi lelaki bernama Y di dalam kereta dan melakukan hal terkutuk itu.
Saya hilang sabar dan bertanya S di mana surah Yasin yang saya beri padanya dan diletakkan di atas kepalanya. S bersumpah dengan nama Allah dan menafikan hal berkenaan. Namun akhirnya X menghantar SMS kepada saya mengatakan dia berzina dengan S.
Saya bertanya S dan akhirnya dia mengaku melakukan perkara itu dengan X. Saya kecewa kerana saya selalu berpesan supaya jangan tinggal solat, tapi dia tinggalkan kerana mengejar duniawi.
S juga menyatakan dia tidak hairan jika putus hubungan dengan saya kerana ramai lagi lelaki menodainya dan bukan X dan Y saja.
Ramai lelaki mahukannya. S juga menyatakan setiap lelaki dikenalinya akan mendapat ‘hadiah’ daripadanya, iaitu tubuhnya.
Saya benar-benar kesal dengan penjelasan S dan bertekad melupakan dia dan buat haluan hidup saya.
Ada lagi cerita yang mengaibkan tapi tidak perlu saya nyatakan di sini biarpun saya berkorban untuknya selama ini.
Apa hukum dan balasan Allah terhadap S yang bersumpah dengan nama Allah pada surah Yasin dan juga dengan nama anaknya?
INSAN KECEWA
Melaka
Bagi menjawab masalah saudara Dang Setia ingin bertanya, apakah yang diimpikan apabila saudara mendirikan rumah tangga kelak? Adakah saudara hanya inginkan isteri cantik atau kebahagiaan hakiki yang berkekalan hingga ke anak cucu? Jika inginkan isteri cantik, mungkin saudara boleh meneruskan perjuangan untuk membimbing S yang bagi Dang Setia sudah jauh tersimpang daripada landasan Islam.
Dang Setia menganggap S cantik rupa parasnya kerana melihatkan kesungguhan saudara membimbingnya walaupun dia acap kali memperdayakan saudara.
Tidak salah ‘mengayat’ seorang wanita cantik untuk dijadikan kekasih atau isteri kerana ia lumrah lelaki, tapi sebaik-baiknya biarlah gadis atau wanita itu memiliki pakej lengkap, terutama daripada segi agama.
Seelok-eloknya selepas berkenan dengan seseorang wanita itu, cuba berkawan dalam tempoh tertentu untuk menilai budi pekertinya supaya tidak tersilap pilih kelak.
Dalam kes saudara, Dang Setia percaya saudara sudah melalui situasi itu. Minta maaf, S bukan calon sesuai untuk dijadikan kekasih, apatah lagi isteri yang bakal menjadi ibu kepada anak saudara kelak.
Bayangkan kalau si ibu rosak akhlaknya, bagaimana dia mahu membimbing anak ke jalan benar sedangkan saudara pasti sibuk mencari rezeki.
Dang Setia menganggap S sebagai sebiji buah yang buruk dan rosak. Buah yang dalam keadaan itu selayaknya dibuang saja ke dalam tong sampah kerana langsung tidak boleh dimakan.
S bukan saja hanyut dalam dunia noda, malah berani membelakangi agama apabila bersumpah dengan nama Allah seperti diceritakan saudara.
Ini kerana dalam Islam syarat sah sumpah adalah bersumpah atas nama Allah (Wallahi, Billahi atau Tallahi), satu daripada nama Allah (seperti al-Rahman, al-Rahim, al-Khalik) atau satu daripada sifat Allah, sebagai contoh (Aku berlindung dengan Kemuliaan Kamu, yang tidak ada Tuhan melainkan Kamu yang tidak mati manakala jin dan manusia akan mati).
Selain larangan bersumpah dengan selain Allah, seseorang itu diingatkan supaya jangan berdusta dalam sumpah, sekali pun terhadap perkara kecil. Rasulullah SAW bersabda: “Sesiapa yang mengambil hak seorang Muslim dengan sumpahnya (yang dusta), sesungguhnya Allah mewajibkan baginya neraka dan mengharamkan ke atasnya syurga.” Alhamdulillah, saudara menyedari kesilapan bercinta dengan S dan bertekad melupakannya. Sebagai lelaki, saudara ada kuasa memilih berbanding wanita, justeru cari wanita lain yang elok budi pekertinya, insya-Allah rumah tangga saudara akan bahagia.
Posted by Berita Sentral Semasa Terkini at 9:27 PM 0 comments
Labels: Islam dan Anda, Kehidupan, Kerosakan Akhlak, Keruntuhan Akhlak, Wanita dan Kehidupan
Berlusconi seks beramai-ramai
Wednesday, November 3, 2010
ROME: Silvio Berlusconi sekali lagi dikaitkan dengan skandal seks apabila seorang pelacur elit mengaku diupah untuk memuaskan nafsu Perdana Menteri Itali itu, lapor media, semalam.
Nadia Macri, 28, berkata dia pernah ditiduri Berlusconi sebanyak dua kali dan dibayar hampir RM45,000.
Tidak cukup dengan itu, Nadia juga mengejutkan banyak pihak apabila mendakwa pernah melihat negarawan berusia 74 tahun itu mengadakan hubungan seks dengan beberapa wanita dalam jacuzzi.
Pendedahan itu diperoleh ketika Nadia memberi keterangan kepada pihak berkuasa yang menyiasat dakwaan Berlusconi menghadiri pesta seks dan dadah di vila peribadinya, baru-baru ini.
Menurut Nadia, dalam parti dihadiri Berlusconi, wanita yang ada memang ditawarkan marijuana, selain bahan itu memang sentiasa tersedia dalam pesawat rasmi perdana menteri itu.
Sementara itu, peguam bagi Belusconi, Niccolo Ghedini, menafikan dakwaan itu.
Katanya, jika memang ada kenyataan seperti itu dibuat terhadap Berlusconi, ia dinafikan secara tidak langsung oleh kenyataan beberapa saksi sebelum ini.
“Semua majlis dihadiri Berlusconi dilangsungkan dengan teratur,” katanya.
Sebelum ini, Nadia memberi keterangan panjang lebar - sehingga 300 muka surat - mengenai Berlusconi dan maklumat itu diperoleh media.
Melalui kenyataan itu, Nadia mengaku mengadakan hubungan seks dengan Berlusconi sebanyak dua kali di rumah pemimpin Itali itu.
Selain wang tunai, dia turut dihadiahkan pelbagai barang kemas.
Baru-baru ini, Berlusconi turut dikaitkan dengan seorang penari gelek dari Maghribi, Karima Keyek, 18.
Dalam usaha mengendurkan perhatian kepadanya, semalam Berlusconi berkata: “Lebih baik kita berasa ghairah kepada wanita cantik daripada menjadi gay.” - Agensi
Posted by Berita Sentral Semasa Terkini at 8:07 PM 0 comments
Labels: berlusconi seks beramai-ramai, Keruntuhan Akhlak, langgan pelacur, skandal seks perdana menteri itali
Budak 10 tahun lahirkan bayi
MADRID: Seorang budak perempuan berusia 10 tahun melahirkan bayi di Jerez de la Frontera, selatan Sepanyol, kata seorang pemimpin tempatan, semalam.
Menteri Hal Ehwal Sosial Andalusia, Micaela Navarro, berkata pihak berkuasa kini mengkaji sama ada budak itu dan keluarganya layak menjaga bayi berkenan.
“Bapa kepada bayi itu juga seorang budak,” katanya.
Bagaimanapun, Navarro enggan mendedahkan butiran lanjut mengenai kes itu, termasuk jantina bayi terbabit.
“Setakat ini pihak berkuasa tidak menganggap kes ini sebagai rogol dan tiada sebarang siasatan jenayah dijalankan,” katanya.
Sementara itu, media melaporkan, budak perempuan itu berasal dari Romania dan ketika tiba di Sepanyol, dia memang hamil.
Tidak pula dinyatakan bila budak itu dan keluarganya tiba di Sepanyol. - AP
Posted by Berita Sentral Semasa Terkini at 6:03 PM 0 comments
Labels: budak 10 tahun lahirkan bayi, Islam dan Anda, Kehidupan, Keruntuhan Akhlak, kes rogol kanak-kanak
Kes video seks jadi pengajaran elak kontroversi
Tuesday, November 2, 2010
JAKARTA: Kes video seks membabitkan Luna Maya dengan vokalis Peterpan, Ariel, bakal menjadi pengajaran penting untuk Atiqah Hasiholan.
Dalam wawancara eksklusifnya dengan laman sesawang berita Kompas.com, Atiqah berkata, sebagai duta produk Lux, dia perlu bersedia menghadapi pelbagai dugaan.
“Tambahan pula saya berlakon, macam-macam gosip yang tiba,” katanya.
Katanya, dengan persediaan secukupnya, dia yakin dapat menghadapi cubaan itu.
“Yang penting, saya harap tak akan ada gosip ke atas saya,” katanya.
Sejak bergelar aktres, kata Atiqah, dia belum pernah berdepan dengan gosip yang menyakitkan hati, malah semua berita mengenainya berbentuk positif.
“Belum pernah ada berita berkaitan peribadi dilaporkan,” katanya. - Agensi
Posted by Berita Sentral Semasa Terkini at 5:04 PM 0 comments
Labels: Ariel Peterporn, Islam dan Anda, Keruntuhan Akhlak, kes skandal video seks ariel peterpen, kes video seks jadi pengajaran
Penyampai radio dicekup khalwat
Monday, November 1, 2010
ALOR SETAR: Dia dikenali sebagai penyampai radio yang mempunyai ramai peminat sendiri namun itu tidak menghalang pihak berkuasa daripada menahannya atas tuduhan berkhalwat bersama pasangan berusia 24 tahun, malam kelmarin.
Ketika ditahan deejay yang juga penerbit rancangan radio di utara berusia 34 tahun itu memberi alasan menemani teman wanitanya yang tinggal berseorangan di rumah sewa di Taman Tunku Sarina, Jitra dekat sini, menjamu selera.
Pasangan itu dicekup kira-kira jam 11.15 malam oleh sepasukan pegawai penguat kuasa Pejabat Agama Daerah Kubang Pasu (PADKP).
Difahamkan, ‘orang kuat’ stesen radio itu mengenali wanita berkenaan yang berasal dari Sarawak ketika wanita itu membuat latihan amali di stesen radio tempat dia bekerja beberapa bulan lalu.
Menurut sumber, hasil maklumat orang awam, sepasukan anggota PADKP bergegas ke sebuah rumah di taman perumahan itu dan mengesyaki sesuatu mencurigakan apabila mendapati rumah berkunci.
Katanya, apabila pintu diketuk, seorang lelaki berpakaian lengkap membukanya dan membenarkan pemeriksaan dijalankan di dalam rumah berkenaan.
“Pemeriksaan mendapati ada seorang wanita di dalam rumah itu yang turut berpakaian lengkap dan siasatan mendapati mereka tiada hubungan mahram atau suami isteri.
“Lelaki itu mengaku mengenali pasangannya ketika wanita yang berasal dari Sarawak itu menjalani latihan amali di stesen radio berkenaan beberapa bulan lalu,” katanya.
Sumber itu berkata, penyampai radio itu juga memberi alasan menemani pasangannya menjamu selera kerana wanita itu menyewa seorang diri di rumah berkenaan.
Difahamkan, penyampai radio itu terkenal di kawasan utara Semenanjung menduda sejak beberapa tahun lalu manakala wanita berkenaan masih bujang.
Sumber itu berkata, sebelum ini pihaknya menerima aduan penyampai radio berkenaan kerap bermalam di rumah wanita itu selepas waktu kerja atau pada hari cuti dan hanya pulang keesokan hari.
“Pasangan itu dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kubang Pasu sebelum dibawa ke pejabat agama daerah untuk diambil keterangan,” katanya.
Menurutnya, kes disiasat mengikut Seksyen 9(1)(2) Enakmen Kanun Jenayah Syariah Kedah 1988 dan jika sabit kesalahan pasangan itu boleh didenda tidak melebihi RM2,000 atau setahun penjara atau kedua-duanya sekali.
Posted by Berita Sentral Semasa Terkini at 2:49 PM 0 comments
Labels: deejay terkenal utara dicekup, Islam dan Anda, Keruntuhan Akhlak, kes khalwat artis malaysia, pelajar amali berkhalwat, penyampai radio dicekup khalwat