KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Kapar, S Manikavasagam mendakwa menerima dua aduan berhubung kehilangan anggota keluarga di Banting, Selangor yang dipercayai ada kaitan dengan peguam yang juga suspek utama kes pembunuhan kejam Datuk Sosilawati Lawiya dan tiga yang lain, semalam.
Manikavasagam berkata, aduan tersebut dibuat oleh keluarga mereka semalam dengan mendakwa mangsa hilang kira-kira lapan hingga sembilan bulan lalu setelah berurusan dengan suspek utama dalam urusan berkaitan penjualan tanah.
Ahli Parlimen itu yang tidak pasti di mana satu lagi laporan dibuat juga enggan mendedahkan identiti mangsa tetapi berjanji akan menyatakanya esok.
Beliau hadir bersama S Usharani, isteri kepada usahawan dari India, Allal Kanthan Muthuraja, yang dilaporkan hilang bagi menyerahkan bukti penting iaitu sebuah telefon bimbit yang merakam perbualan telefon antara Usharani dengan seorang peguam yang dipercayai terbabit dalam kes pembunuhan jutawan kosmetik itu, kepada Ketua Polis Negara Tan Sri Ismail Omar.
Turut dirakam ialah perbualan telefon antara Usharani dengan seorang lelaki yang mendakwa beliau adalah pegawai polis dari Bukit Aman bernama ASP Suresh.
Mereka bagaimanapun tidak dapat menyerahkan bukti itu kerana Ismail tidak ada di pejabatnya dan hanya dapat berjumpa dan menyerahkan bukti itu minggu depan.
Bagaimanapun, Usharani hanya dapat menyerahkan memorandum yang mengandungi salinan laporan polis yang dibuat mengenai kehilangan suami beliau, salinan pasport, salinan surat beranak anak-anaknya dan salinan surat beliau kepada Pesuruhjaya India kepada unit perhubungan awam Bukit Aman hari ini.
Manikasavagam berkata, ia bagi membantu polis menyiasat kehilangan suami Usharani.
Semalam Usharani mendedahkan menyimpan dua rakaman percakapan dalam bahasa tamil melalui telefon bimbitnya yang boleh dijadikan bahan bukti.
Rakaman perbualan pertama pada 28 Januari membabitkan beliau dengan peguam yang juga suspek utama pembunuhan Sosilawati.
Dalam perbualan itu, lelaki berkenaan menafikan bersama suaminya dan menyatakan beliau sedang berada di luar negara manakala rakaman kedua pula ialah perbualannya dengan seorang lelaki yang mengaku pegawai polis berpangkat ASP dari Bukit Aman yang meminta wang 10 lakhs (RM1 juta) bagi membebaskan suaminya yang ditahan polis kerana kesalahan dadah.
Usharani yang menetap di Ramapuram, Chennai, India, mendakwa suaminya, Muthuraja tiba di Malaysia pada 18 Januari lalu untuk bertemu dua sahabat karibnya, iaitu dua beradik yang juga peguam yang dipercayai terlibat dalam kes pembunuhan Sosilawati.
Selepas lapan bulan tidak mendapat berita mengenai suaminya, Usharani datang ke Malaysia dan membuat laporan polis pada 8 September lalu di Banting. - BERNAMA
0 comments:
Post a Comment